LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi berjaya menemui satu mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia dipercayai lelaki yang terlibat insiden bot karam Isnin lalu di perairan Pulau Pangkor di sini.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Muhamad Shukri Khotob berkata, mayat berkenaan ditemui oleh aset FCB 1001 pada pukul 9.27 pagi ketika ia sedang mengadakan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di perairan berkenaan.
“Mayat tersebut ditemui di kedudukan 5.6 batu nautika barat daya Pulau Pangkor. Ia dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kg. Acheh, Sitiawan pada pukul 10.20 pagi,” katanya di sini hari ini.
Hanya tiga mangsa yang masih belum ditemui setakat ini dengan kesemuanya masih lagi dicari menerusi Op Carilamat oleh pasukan keselamatan yang terdiri daripada TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan PPM.
Media pada Isnin lalu melaporkan mengenai sebuah bot disyaki membawa 37 orang PATI warga Indonesia tenggelam di kedudukan kira-kira 8.2 batu nautika barat Pulau Pangkor.
Sehingga hari ini, jumlah mangsa yang ditemui selamat adalah seramai 23 orang iaitu 16 orang lelaki dan tujuh orang perempuan. – KOSMO! ONLINE














