PEMANCING yang mengikuti trip bersama Afizan pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Kemahiran pengail diuji di port kapal karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI pemancing tegar di Pulau Pinang, sebut sahaja lokasi kapal Russia, kapal Jepun, kapal Taiwan, Haguro dan Sun Vista, sudah pastinya mereka terbayangkan spesies ikan-ikan gred A yang memenuhi kawasan itu.

Kawasan kapal karam tersebut merupakan port yang tidak asing lagi bagi kaki pancing di sekitar perairan barat dan selatan Pulau Mutiara.

Menurut tekong bot pancing dari Balik Pulau, Pulau Pinang, Afizan Arifin, 42, dia memilih untuk membawa pemancing mencuba nasib di kawasan tersebut memandangkan di situ merupakan lubuk ikan berkualiti tinggi.

Dia yang turut dikenali sebagai Tekong Bot Biru berkata, kebanyakan spesies ikan yang kerap bermain di dasar kapal-kapal karam itu adalah seperti kerapu, jenahak, red snapper dan tenggiri.

Afizan berkata, pemancing yang memilih perkhidmatan bot biru akan menaiki bot di jeti di Kuala Sungai Burung, Pantai Malindo, Balik Pulau.

“Saya akan bawa pemancing sekitar 20 batu nautika dan mereka boleh memilih kawasan kapal karam yang mereka mahu.

“Di situ, kemahiran pemancing diuji untuk menjinakkan spesies ikan gred A yang terkenal agak liar dan ganas ketika tersangkut pada mata kail,” katanya.

Jelas Afizan, tidak sukar untuk pemancing menjinakkan ikan di kawasan kapal karam, sekiranya tahu teknik betul memandangkan risiko tali pancing terputus amat besar sekiranya pemancing tersilap langkah.

“Pemancing digalak menggunakan teknik jigging yang mana terdapat dua jenis kaedah iaitu vertical jigging dan jig cast.

“Vertical jigging lebih banyak digunakan untuk mengumpan ikan mendiami dasar. Jig dilepaskan secara menegak atau ke depan sehingga tenggelam ke dasar laut.

“Kemudian karauan secara laju atau perlahan dibuat,” katanya.

AFIZAN (kiri) dan seorang pemancing menunjukkan ikan kerapu dan red snapper yang ditangkap di kawasan kapal karam perairan Pulau Pinang.

Tambahnya, bagi pemancing yang mahu menjinakkan spesies yang kerap bermain di pertengahan atau permukaan air, digalakkan menggunakan kaedah jig cast.

“Teknik ini sering digunakan untuk menjerat ikan tenggiri yang banyak terdapat di kawasan kapal karam.

“Menerusi kaedah ini, jig dibaling sejauh mungkin dan karauan laju dibuat dan membuatkan jig seolah-olah ikan sedang berenang,” katanya.

Selain jigging, pemancing boleh menggunakan kaedah bottom iaitu teknik yang digunakan untuk menangkap ikan di dasar laut.

“Teknik ini membolehkan pemancing berehat sambil menunggu umpan disambar ikan.

“Umpan digunakan untuk teknik ini adalah umpan hidup seperti ikan, udang hidup dan lain-lain.

AFIZAN menunjukkan ikan kerapu yang berjaya dijinakkan.

“Ikan seperti kerapu, jenahak, merah, bayan dan kaci selalu menjadi menjadi sasaran pemancing yang menggunakan kaedah ini,” ujarnya.

Tambah Afizan, selain membawa trip pemancing ke kawasan kapal karam, dia turut membawa mereka ke kawasan unjam yang banyak terdapat di perairan Pulau Pinang seperti di Pulau Kendi.

‘’Pemancing jarang pulang dengan tangan kosong sekiranya memancing di kawasan kapal karam serta kawasan unjam, kerana di situ adalah lokasi ikan ‘berkumpul’,” katanya.

Tambah Afizan, selain membawa pemancing, dia yang menjalankan perkhidmatan itu secara sambilan pada hujung minggu turut memberi tunjuk ajar kepada pemancing yang masih belum mahir selok-belok memancing.

“Bot saya boleh dinaiki enam pemancing dan mereka yang belum mahir, saya akan pastikan tidak pulang tangan kosong,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN