fbpx
Bahagian pembersihan dilaporkan paling kritikal disebabkan kekurangan pekerja. – GAMBAR HIASAN

Cadang bekas banduan, pelarian bekerja di hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebanyak 30,000 pekerja bagi pelbagai jawatan masih diperlukan bagi merancakkan industri perhotelan di negara ini selepas kerajaan melonggarkan pelbagai syarat termasuk pembukaan semula pintu sempadan pada 1 April lalu.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk mendapatkan tenaga baharu selepas sektor itu dibenarkan beroperasi pada fasa peralihan ke endemik.

“Saya mengakui industri perhotelan kini ketandusan pekerja mencecah 30,000 orang. Ia me­rupakan satu jumlah yang besar dan perkara ini amat membimbangkan.

“Pelbagai alternatif sudah dirangka bagi memastikan industri hotel kekal bertahan terma­suklah menggaji bekas banduan jika masalah ini masih berterusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Shaharuddin, selain bekas banduan, pihaknya turut bercadang menggaji parol, Orang Asli dan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mengisi kekosongan tersebut.

Bahagian kritikal ketika ini adalah restoran dan housekee­ping (pembersihan).

Jelas beliau, kesemua cada­ngan itu dirangka kerana pihak­nya berdepan kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja muda rakyat tempatan.

“Seboleh-bolehnya pihak kami mahukan pekerja dalam kala­ngan rakyat tempatan, tetapi jika ketandusan pekerja, beberapa alternatif lain boleh difikirkan.

“Anak muda tidak berminat bekerja dalam sektor perhotelan. Buktinya karnival kerjaya yang kami sertai atau iklan mencari pekerja hotel sebelum ini tidak mendapat sambutan.

“Jadi mungkin kekosongan itu boleh digantikan dengan komuniti Orang Asli kerana terdapat program melibatkan komuniti tersebut di hotel,” katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini inisiatif tersebut masih di peringkat perbincangan bersama Tou­rism Malaysia, pemain industri dan Kementerian Sumber Manusia sama ada dibenarkan atau tidak.

“Walaupun kita berjaya kumpul, jika pihak hotel tidak bersetuju, perkara ini tidak akan dilaksanakan dan alternatif baharu lain perlu dirangka.

“Pihak kami memberi jaminan tiada diskriminasi atau layanan dua darjat terhadap mereka ke­rana pengambilan dibuat Akta Buruh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN