Menerusi inisiatif Menu Keluarga Malaysia (MKM) oleh Kementerian Pengajian Tinggi, para pelajar di universiti kini boleh menarik nafas lega apabila mereka boleh mendapatkan makanan berkualiti pada harga siling serendah RM3.50 untuk satu hidangan makanan di kampus.
Sebagai usaha membantu para pengusaha premis makanan dalam kampus IPT, pihak KPT telah bersetuju memberi moratorium bayaran sewa selama enam bulan bagi menurunkan harga makanan dijual kepada pelajar.
Salah satu usaha dilakukan adalah memperkenalkan MKM di 23 kafeteria berdaftar dalam UPSI pada harga RM3.50 per hidangan kepada lebih 14,000 mahasiswa yang kebanyakannya golongan B40.
———————————————————————————————————————————————————————————————————
MELANJUTKAN pengajian ke menara gading ternyata memberi cabaran tersendiri buat anak muda berusia 23 tahun itu.
Muhammad Noraiman Zulkifli yang mengikuti pengajian di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur bukan saja berdepan tekanan untuk memastikan keputusan pengajiannya sentiasa cemerlang, malah terpaksa mengharungi kehidupan mencabar di tengah-tengah ibu kota.
Cabaran berkenaan hadir dalam pelbagai aspek terutama dari segi kos sara hidup memandangkan UM terletak di ibu negara yang diketahui memerlukan perbelanjaan lebih berbanding institusi pengajian tinggi (IPT) di luar bandar.
Pemuda berasal dari Manjung, Perak itu berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 bagi menampung perbelanjaan bulanannya termasuk makan minum serta keperluan lain.
Jelasnya, sebagai pelajar tahun akhir, dia terpaksa mengeluarkan wang tambahan untuk menyewa rumah berhampiran kampus dengan kos mencecah RM300 sebulan bersama tujuh lagi rakan.
Sebagai langkah berjimat cermat, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia itu selama ini memilih menjamu selera atau membungkus makanan dari kafeteria di dalam kampus kerana harganya lebih murah.

Bagaimanapun, akibat peningkatan beberapa harga barang keperluan asas termasuk ayam dan minyak masak baru-baru ini, terdapat kafeteria di dalam kampus yang terpaksa menaikkan harga makanan.
“Selepas beberapa harga barang keperluan naik baru-baru ini, saya dapati harga makanan di beberapa kafeteria dalam kampus turut meningkat antara 50 sen hingga RM1. Kalau beli di luar kampus harganya lagi mahal.
“Peningkatan ini sangat membebankan kerana kami tidak mempunyai pendapatan tetap. Saya hanya bergantung kepada biasiswa serta duit poket dibekalkan keluarga sekitar RM300 sebulan.
“Jadi, saya terpaksa membuat kerja sambilan pada hujung minggu dan masa lapang seperti menjadi penghantar makanan dengan pendapatan sekitar RM200 sebulan,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Pun begitu, kini, Muhammad Noraiman boleh menarik nafas lega selepas kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia (MKM) di semua restoran koperasi, kafeteria serta premis makanan di IPT.
Menerusi inisiatif tersebut, kerajaan menawarkan menu makanan berkualiti pada harga siling RM3.50 untuk satu hidangan makanan tengah hari atau malam.
Muhammad Noraiman yang juga wakil Majlis Perwakilan Pelajar, UM berkata, dia menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan inisiatif MKM sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidupnya.
“Saya sudah cuba hidangan MKM ini di sebuah kafeteria. Dengan harga serendah RM3.50, saya dapat nasi putih, telur dadar dan sedikit sayur.
“Bagi saya, ia sangat berbaloi dan berkhasiat,” ulasnya.

UNIVERSITI MALAYA merupakan salah sebuah universiti yang melaksanakan inisiatif MKM untuk meringankan beban warga IPT.
Sementara itu, salah seorang pengusaha premis makanan di kafeteria Kolej Kediaman Raja Dr. Nazri Shah, UM, Nor Aziah Samsudin, 38, berkata, peningkatan harga barangan cukup menekan para peniaga.
Wanita yang telah mengusahakan perniagaan makanan dalam kampus UM selama sedekad lalu menambah, dia terpaksa menyerap peningkatan harga itu supaya tidak membebankan para mahasiswa.
“Apabila harga barang keperluan naik, saya masih menjual makanan pada harga sama. Saya tidak mahu menaikkan harga serta membebankan pelajar kerana tahu tidak semua datang daripada keluarga senang.
“Meskipun keuntungan perniagaan ketika ini menyusut sekitar 20 peratus, namun saya masih mampu untuk ‘cover’ duit bahan mentah serta gaji tujuh pekerja di premis makanan kami,” katanya.
Sebagai usaha membantu para pengusaha premis makanan dalam kampus IPT, pihak KPT telah bersetuju memberi moratorium bayaran sewa selama enam bulan bagi menurunkan harga makanan dijual kepada pelajar.
Menurut Nor Aziah, pihaknya sudah mula menjual menu makanan pada harga serendah RM3.50 dan RM5 seperti yang disyorkan pihak pentadbiran UM sebagai usaha menyokong inisiatif MKM yang diperkenalkan kerajaan.
“Mahasiswa boleh menikmati set ekonomi seperti nasi putih, telur dadar, sayur bersama sup kosong atau sambal pada harga RM3.50. Bagi set RM5, pelajar akan dapat nasi putih, ayam atau ikan, sayur dan sup kosong.
“Pada saya, ia merupakan situasi ‘menang-menang’ selepas KPT mengumumkan moratorium bayaran sewa. Jadi, saya dapat jimat RM1,000 setiap bulan memandangkan saya menyewa dua premis.
“Wang ini boleh guna untuk beli bahan mentah dan bayar gaji pekerja. Namun, saya berharap moratorium ini dapat dilanjutkan atau kos sewaan dikurangkan bagi tempoh jangka panjang,” jelasnya.
Nor Aziah turut memaklumkan, dia dapati berlaku sedikit peningkatan kepada kehadiran pelajar membeli di kafeteria berbanding sebelum pengenalan inisiatif tersebut.
Katanya, indikator itu menunjukkan ramai mahasiswa menyambut baik usaha berkenaan dan memilih untuk menikmati makanan berkhasiat berbanding menjamah mi segera di dalam bilik.
Menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pihak UM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan pelajar bagi memastikan kelangsungan hidup sepanjang pengajian.

PARA pelajar dan kakitangan kelihatan menjamu selera di kafe Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, UM.
“Berikutan peningkatan harga barangan yang memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus, BHEP dengan kerjasama pengusaha kafeteria kolej kediaman mengambil inisiatif memperkenalkan menu ekonomi,” menurut notis itu.
Selain UM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut bertindak proaktif untuk mendepani cabaran kenaikan harga barang yang membabitkan mahasiswa universiti berkenaan.
Salah satu usaha dilakukan adalah memperkenalkan MKM di 23 kafeteria berdaftar dalam UPSI pada harga RM3.50 per hidangan kepada lebih 14,000 mahasiswa yang kebanyakannya golongan B40.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, inisiatif dikenali Food Basket Siswa Malaysia itu juga memberi pilihan buat mereka untuk mendapatkan menu makanan berkualiti pada harga rendah.
Menurutnya, menerusi bantuan itu, pelajar kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan perbelanjaan membeli makanan setiap hari.
“Kami telah aktifkan ‘UPSI Kami Prihatin’ untuk membantu pelajar terutama daripada keluarga susah. Malah, ada pensyarah dan kakitangan yang mengambil pelajar sebagai anak angkat dan membantu membiayai pengajian mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin menjelaskan bahawa penyediaan menu berkualiti pada harga minimum adalah usaha yang sangat mencabar.
Menurut Norkhalid lagi, usaha sinergi telah dilaksanakan secara menyeluruh bersama pengusaha kafeteria di mana pihak universiti akan menyelaraskan kerjasama perolehan bahan-bahan mentah secara pukal.
“Usaha berkenaan diharap dapat dapat membantu para pengusaha mendapatkan harga bahan mentah pada harga yang munasabah daripada penjual atau pembekal,” ujarnya.
Pada masa sama, UPSI turut mewujudkan Food Barakah Campaign iaitu menyediakan tabung khas di setiap kafe untuk pembeli menyumbangkan baki bayaran bagi membantu menampung dana kebajikan.

NORKHALID bersama salah seorang pengusaha premis makanan di UPSI yang menjayakan MKM.
Selain itu, UPSI melaksanakan program meringankan bebanan sara hidup pelajar melalui agihan kepada 150 pelajar daripada Dana Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia bagi inisiatif food@campus dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM30,000.
“Inisiatif Foodbank Siswa UPSI turut menerima sumbangan daripada Sekretariat Foodbank Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kerajaan Negeri dan UPSI dalam bentuk makanan kering.
“UPSI juga bercadang mengadakan kempen Tapau Kit yang mana mahasiswa membawa bekas sendiri untuk membeli makanan dan pengusaha kafe bersetuju memotong harga makanan yang dibeli,” ujarnya.














