PETALING JAYA – Usaha kerajaan melaksanakan larangan generasi merokok atau Generational End Game (GEG) adalah sesuatu yang membina selain prihatin dengan tahap kesihatan rakyat.
Namun begitu, Pengerusi Pertubuhan Ummah Muafakat Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, polisi itu dilihat ‘besar’ dan ‘unprecedented’, mempunyai kesan sosio-ekonomi tidak terjangka yang akan melibatkan pelbagai agensi bagi menjamin keberkesanannya bukan hanya Kementerian Kesihatan (KKM).
Polisi itu memerlukan kesepaduan ke semua agensi termasuk keselamatan dan kepenggunaan.
“Kita perlu melihat pelbagai sudut antaranya aspek penguatkuasaan dan tahap kepatuhan peruncit dalam melaksanakan larangan ini. Bukan mudah untuk memastikan umur pembeli terutamanya apabila mereka sudah meningkat dewasa kelak.
“Aspek penyeludupan haram juga harus diambil kira. Sudah tentu penyeludupan haram bukan di bawah bidang kuasa KKM, ia harus diambil kira. Ada laporan yang menyebut berikutan harga yang meningkat tinggi, kebanyakan perokok di Malaysia mengambil rokok seludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Tun Faisal, biarpun hasrat untuk menjadi negara pertama mengikut jejak langkah New Zealand yang bakal melaksanakan polisi serupa adalah langkah terpuji, namun kerajaan perlu embuat kajian yang lebih menyeluruh agar tidak terlepas pandang impak terhadap aspek sosio-ekonomi rakyat dan negara.
Katanya, ini kerana persekitaran sosial dan ekonomi kedua-dua negara itu berbeza, malah terdapat laporan yang menyebut bahawa kelaziman merokok negara kini berada pada tahap 21 peratus manakala di New Zealand adalah 13.4 peratus.
“Kadar rokok seludup di Malaysia pula berada pada tahap 58.4 peratus manakala di New Zealand hanya 9.6 peratus,” katanya.
Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada minggu depan.
RUU itu turut memperuntukkan cadangan GEG atau generasi penamat yang tidak membenarkan individu lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya daripada menggunakan, menghisap mahupun memiliki sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik.
Jika RUU tersebut diluluskan, maka Malaysia bakal menjadi antara negara yang melaksanakan undang-undang demikian seiring dengan New Zealand yang juga dalam usaha membentangkan undang-undang sama. – KOSMO! ONLINE.