fbpx
D-Max X-Terrain versi dinaik taraf ini didatangkan dalam dua warna baharu termasuk putih mutiara.

Isuzu D-Max X-Terrain bermata burung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK Isuzu Malaysia melancarkan model D-Max generasi ketiga pada tahun lalu, trak pikap tersebut berjaya menarik perhatian dengan gaya rekaan yang ditawarkan.

Bagi meyakinkan lagi kenyataan itu, model ini sebenarnya telah menggondol lima anugerah trak pikap terbaik.

Demi memberikan keutamaan kepada kepuasan pengguna biarpun sudah meraih anugerah, pihak Isuzu masih mendengar permintaan dan komen-komen daripada orang ramai.

Baru-baru ini, bertempat di The Grounds, MAHSA Avenue, Kuala Lumpur, syarikat itu telah memperkenalkan D-Max varian X-Terrain yang telah dinaik taraf.

Antara yang ditawarkan juga ialah dua warna baharu yang menonjol iaitu Silky Pearl White (putih mutiara) dan Onyx Black (hitam).
Warna Valencia Orange (oren) masih dikekalkan.

DARI segi rekaan luarannya, tidak banyak berbeza dengan D-Max X-Terrain generasi ketiga sebelum ini.

Pada hujung minggu lalu, penulis juga diberi peluang untuk memandu uji sendiri model ini yang berwarna putih mutiara. Walaupun tidak banyak perubahan ketara pada bahagian luaran, warna putih berjaya menaikkan aura pikap berkenaan.

Bagi penulis, Isuzu D-Max X-Terrain sememangnya trak pikap yang berjaya meneroka pendekatan baharu dengan rekaannya yang imaginatif.

Saya difahamkan, model ini telah menghubungkan jurang antara fungsi sebenar trak pikap dengan kehendak pelanggan.

Model utama Isuzu ini juga ingin memastikan pelanggan menikmati sejumlah ciri benar-benar hebat yang akan menjadikan pemanduan mereka lebih selamat dan menyenangkan.

Satu lagi ciri naik taraf utama dalam D-Max X-Terrain baharu ini adalah kewujudan Around-View Monitor yang membolehkan persekitaran terdekat dipantau secara 360 darjah.

Ciri ini bukan sahaja menawarkan pandangan mata burung ketika mengundur, ia turut menyediakan pilihan panduan tiga dimensi (3D) dalam paparan 9 inci bagi meletakkan kereta dengan tepat dan mudah.

BAHAGIAN hadapan di ruang pemanduan trak pikap ini kelihatan mempesona dan selesa.

Menarik dan sangat membantu, terutamanya sebelum keluar kereta, kita boleh lihat sama ada terdapat longkang di bahu jalan. Lagi satu, kamera dan visual yang ditawarkan agak berkualiti dan nampak mahal.

Selain itu, model ini juga hadir dengan pengecas tanpa wayar Qi yang terletak di ruang depan gear, sekali gus memudahkan pengguna.

Sesuai digunakan untuk hampir semua telefon pintar, ia boleh dicas dengan mudah dan tanpa gangguan. Justeru, pemandu akan tetap dapat menggunakan Bluetooth untuk menikmati muzik atau melihat peta dan pada masa sama, bateri telefon tidak berkurangan.

Permintaan pelanggan yang direalisasikan juga ialah lampu alu-aluan di luar. Terletak kemas di bahagian bawah, lampu diod pemancar cahaya (LED) ini akan menerangi kawasan sekitar kaki ketika membuka kunci kenderaan.

Apabila digunakan bersama fungsi follow-me home lights, pemandu dan penumpang bukan sahaja selamat, kasut anda juga tidak akan kotor walaupun berjalan di tengah gelap malam kerana disuluh terang.

RUANG penyimpanan barang yang luas memberikan trak pikap terbaharu ini semakin diminati ramai.

Seiring dengan gaya rugged X-Terrain, model ini kini memiliki pelindung geseran (scuff plate) berlampu yang bukan sahaja melindungi bingkai pintu daripada calar kecil, ia juga menambah lagi ciri elegan model ini.

Tahap keselesaan yang ditawarkannya sukar ditandingi dan ciri inovatif kini meningkatkan lagi standard kenderaan kategori berkenaan dengan menawarkan penambahan minor yang signifikan ke dalam senarai ciri sedia ada.

Model ini masih menggunakan enjin 3.0 liter turbo diesel dengan transmisi enam kelajuan automatik.

Hasil gabungan itu, memberikan kuasa maksimum 190PS pada 3,600rpm dan tork tertinggi 450Nm pada 1,600-3,600 rpm.

Kesimpulannya, populariti model Isuzu D-Max, terutamanya varian X-Terrain kekal tinggi dengan ramai pemilik kali pertamanya gembira dengan trak pikap moden ini.

Tahap keselamatan dan keselesaan yang mengagumkan serta ciri versatil untuk ke mana saja, selain mampu melakukan apa sahaja menyebabkan semakin ramai pengguna kereta sedan beralih kepadanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN