fbpx
JPJ menerima banyak permohonan untuk mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) e-Hailing. – GAMBAR HIASAN

Boleh mohon lesen PSV di 221 institut memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Orang ramai yang ingin mendapatkan Lesen Kende­raan Pe­ngangkutan Awam (PSV) e-hai­ling boleh menjalani kursus tersebut di 221 buah Institut Memandu (IM) lain di seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di kawasan-kawasan yang permohonannya tinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, ketika ini terdapat kesukaran untuk mendapatkan Lesen PSV e-hai­ling susulan slot untuk kursus itu sen­tiasa penuh di sesetengah kawasan.

“Bagaimanapun, perkara itu masih dalam keadaan terkawal.JPJ ingin mengesahkan bahawa terdapat sedikit peningkatan bagi pemohonan lesen PSV selepas pembukaan sektor eko­nomi sepenuhnya oleh kerajaan.

“Namun, peningkatan itu masih dapat ditangani de­ngan berkesan memandang­kan terdapat sembilan syarikat pengendali e-hailing (EHO) ketika ini yang diberikan kelulusan dan permit untuk menjalankan kursus e-hailing.

“Daripada sembilan syarikat itu, lima berfungsi sepenuhnya dengan aktif selain pemohon juga boleh mendapatkan kursus e-hailing di 221 buah IM seluruh negara pada bila-bila masa kerana terdapat banyak kekosongan ketika ini,” kata­nya ketika dihubu­ngi Kosmo! semalam.

Katanya, JPJ ingin memaklumkan bahawa dakwaan berkaitan permohonan untuk mendapatkan lesen PSV sentiasa penuh adalah tidak benar dan hanya bersifat andaian semata-mata.

Berdasarkan statistik dikongsikan JPJ, setakat Jun tahun ini, sebanyak 3,323 individu telah menduduki peperiksaan mendapatkan lesen PSV yang menyaksikan 2,670 daripadanya lulus, manakala 653 individu te­lah gagal.

Tahun lalu pula, seramai 3,472 individu telah menduduki pe­periksaan tersebut di mana 2,722 daripada mereka telah lulus, manakala 750 gagal.

Sementara itu, ujar Zailani, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kebocoran soalan pepe­riksaan bagi mendapatkan PSV e-hailing.

“Ujian bagi mendapatkan le­sen PSV e-hailing dikendali sepenuhnya oleh pegawai JPJ dengan prosedur operasi standard yang ketat dan pemantauan berte­rusan.

“Berhubung dakwaan kebocoran soalan e-hailing, sehingga kini tiada aduan atau isu kebocoran dikesan berlaku di mana-mana pusat ujian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN