KEMATIANNYA adalah saat disyukuri! Itulah harga yang harus dibayar oleh Yayan Ruhian, aktor bertubuh kecil dari seberang yang sedang menawan dunia dengan gerak lincah aksi pertarungannya.
“Orang tepuk tangan bersorak saat saya tewas (mati), tak tahu mahu gembira atau sedih. Ya, kematian yang disyukuri. Tapi saya nikmati saja asalkan tidak dibenci,” katanya tertawa, berseloroh saat pertama kali diwawancara depan mata.
Yayan ternyata tidak memerlukan wajah tampan dengan susuk tubuh perkasa, siapa sangka lelaki dengan raut tipikal Asia, Nusantara khususnya itu sudah dikenali serata dunia.
Sepintas lalu juga, susuknya langsung tidak mempamerkan kehebatan seorang tokoh berstatus bintang ternama, namun jika sudah namanya Yayan Ruhian, mudah sahaja dia menggetarkan sesiapa sahaja.

Jiwa dan semangat besar, aktor seberang yang berjaya menjejaki Hollywood itu juga jauh melangkau saiz fizikalnya yang kecil.
Filem-filem dari produksi Amerika Syarikat (AS) yang pernah melibatkan namanya juga bukan calang-calang.
Dia bersyukur bukan sahaja dapat membawa nama Indonesia ke pentas dunia, bahkan mewakili negara-negara rumpun ke peringkat antarabangsa.
Beraksi di samping bintang dunia juga bukanlah tiket untuk aktor berusia 54 tahun itu ‘mendongak ke langit’, sombong dan berbangga diri dengan pencapaiannya hari ini.
Merendah diri
Kata Yayan, dia masih bukan siapa-siapa, jauh sekali untuk dilabel setanding dengan bintang Asia lain yang lebih hebat dan popular seperti Jackie Chan.
“Saya bukan siapa-siapa dan tidak setanding pelakon Asia lain yang sudah terlebih dahulu mencipta nama di Hollywood.
“Selain saya, Indonesia juga memiliki Iko Uwais yang juga terkenal di Hollywood. Penglibatan saya dalam produksi filem Hollywood juga sebenarnya bukan sahaja mewakili Indonesia, bahkan Asia secara keseluruhannya,” ujar Yayan.

Kata bintang seni bela diri itu lagi, peluang bekerjasama dalam filem-filem terkenal antarabangsa, antaranya Star Wars: The Force Awakens, Beyond Skyline dan John Wick: Chapter 3 – Parabellum dianggap sebagai rezeki luar biasa yang tidak disangka-sangka.
Bagaimanapun, lelaki kelahiran Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia itu percaya kejayaan yang diraih hari ini juga berkat sokongan khalayak di tanah kelahiran sendiri.
Enggan membanding-bandingkan cara kerja antara produksi Asia, khususnya dari Indonesia dan Malaysia dengan produksi Hollywood, Yayan terpaksa berterus terang terdapat jurang ketara, terutama aspek masa.
“Saya tidak mahu membandingkan cara kerja produksi di Asia dengan Hollywood, tapi sejujurnya memang ada perbezaan ketara, terutama dari segi masa dan disiplin.
“Apa yang dapat saya perhatikan, produksi di Hollywood sangat mementingkan ketepatan waktu. Selalunya mereka mempunyai perancangan yang sudah betul-betul rapi termasuk ketetapan masa yang perlu ditepati (on time),” jelasnya.
Katanya lagi, disiplin tinggi menjadikan semua perkara yang dirancang berjalan lancar dan hasilnya seperti yang diharapkan.
Silat
Sepanjang bekerjasama dengan produksi dari Barat, Yayan tidak pernah sekali pun disuruh melakukan sesuatu perkara di luar norma masyarakat Asia.
Produksi Hollywood hanya meminta dia mempamerkan karakter khas yang ada pada orang Asia, contohnya seni bela diri.
Secara tidak langsung, Yayan mengambil kesempatan tersebut mempromosikan silat untuk dipamerkan dalam filem Hollywood lakonannya.

“Biasanya produksi sudah pun menyiapkan koreografi yang perlu saya lakonkan dalam aksi pertarungan. Tapi saya minta untuk menampilkan aksi silat. Secara tidak langsung saya dapat menunjukkan aksi bela diri kebanggaan rumpun kita.
“Kerana saya ke sana (Hollywood) bukan sahaja untuk diri sendiri atau Indonesia, tetapi juga membawa nama ‘rumpun Melayu’,” jelasnya.
Pembunuh upahan epik
Apa yang membanggakan buat Yayan, dia turut menjadi sebahagian daripada kebanggaan Malaysia menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Menjadi filem ketiga Malaysia yang pernah melibatkan dirinya selepas Wira (2019) dan Pasal Kau! (2020), Yayan tanpa berselindung mengakui berasa sangat bangga apabila diberi peluang berlakon dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara.
“Mat Kilau sebenarnya filem Malaysia pertama lakonan saya tetapi baru ditayang,” ujarnya.
Menyifatkan penantiannya selama empat tahun selepas menjalani penggambaran pada 2018 akhirnya berbaloi selepas filem yang mengangkat kisah nyata pahlawan Tanah Melayu itu disambut baik penonton selepas ditayangkan pada 23 Jun lalu.

“Untuk sebuah filem seperti Mat Kilau, saya rasa memang wajar filem ini mengambil masa yang lama sebelum ditayangkan kerana naskhah epik ini sangat berbeza dengan filem lain.
“Filem ini berdasarkan sebuah kisah nyata yang diambil dari kisah sebenar melibatkan seorang tokoh (Mat Kilau). Beliau bukan sahaja tokoh pahlawan, namun juga dilabel sebagai seorang ulama dan pendekar,” katanya.
Membawakan watak antagonis bernama Toga, seorang pembunuh upahan untuk British, Yayan berbesar hati dapat bekerja bawah arahan Syamsul Yusof yang disifatkannya sebagai pengarah terbaik yang pernah dikenalinya.
Akui Yayan, nama anak sulung Datuk Yusof Haslam itu sudah mempunyai pengikut tersendiri di Indonesia berdasarkan beberapa naskhahnya terdahulu yang popular di sana.
“Syamsul merupakan pengarah terbaik yang pernah saya kenali. Malah, beberapa karyanya, seperti Munafik pernah mendapat sambutan hebat di Indonesia dan disukai masyarakat di sana.
“Saat dilamar oleh Studio Kembara, saya sangat teruja dapat berlakon bawah arahan Syamsul. Peluang ini satu kebanggaan buat diri saya.
“Saya yakin dan pasti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini bakal menjadi sebuah filem terbaik oleh pencinta filem bukan sahaja di Malaysia, bahkan di negara Nusantara lain,” katanya.














