fbpx
UniMAP adalah salah sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Malaysia yang terletak di Perlis. – GAMBAR HIASAN

UniMAP rancang tambah titik capaian di setiap kediaman pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sedang menaik taraf capaian internet tanpa wayar (Wi-Fi) selain mempunyai perancangan untuk menambah titik capaian (AP) di setiap bilik kediaman penuntut universiti tersebut.

Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pihaknya amat prihatin tentang keperluan internet bagi kemudahan semua pelajar di kolej kediaman Uniciti Alam dan Wang Ulu dekat sini.

“Penambahan unit AP di blok-blok kediaman pelajar di kampus Uniciti Alam telah dilaksanakan sejak Ogos 2021 dan terbaharu pada Mac lalu.

“Tambahan AP ini berterusan sehingga capaian internet benar-benar optimum di kolej-kolej kediaman UniMAP,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan pelajar mengenai gangguan Wi-Fi di kolej kediaman Wang Ulu dan Uniciti Alam terutama menjelang musim peperiksaan.

Dr. Zaliman memberitahu, bagi masalah capaian di lokasi tertentu atau terlindung sama ada di dalam bilik atau di atas katil, ia akan diselesaikan menerusi aduan pelajar ke meja bantuan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi UniMAP.

Katanya, penggunaan Wi-Fi extender juga telah disyorkan kepada pelajar yang menghadapi masalah capaian lemah bagi meningkatkan kekuatan isyarat.

“UniMAP telah memasang 164 unit capaian wireless access point di setiap koridor blok asrama A1, A2, A3 dan A4 di kediaman pelajar Uniciti Alam.

“Bagi kegunaan pelajar di kedia­man Wang Ulu, satu data point disediakan di setiap rumah dan pelajar boleh menggunakan network hub dan kabel UTP untuk mencapai maklumat di internet.

“Terdapat juga 30 unit access point dipasang di aras bawah kesemua 13 blok di kediaman Wang Ulu,” katanya.

Tambahnya, semua access point di kolej kediaman Uniciti Alam dan Wang Ulu sesuai untuk digunakan atau dicapai oleh 30 pelajar dalam satu-satu masa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN