SHAH ALAM – Liputan rangkaian internet tanpa wayar (Wi-Fi) tidak menyeluruh di Universiti Teknologi Mara (UiTM) disebabkan pihak universiti masih belum menerima bekalan peranti daripada pihak pembekal.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, masalah itu adalah isu global dan pihaknya hanya menantikan bekalan tersebut sebelum capaian Wi-Fi dapat dinikmati sepenuhnya oleh kira-kira 184,000 pelajarnya di 35 kampus di seluruh negara.
“Saya bukan Naib Canselor yang tidak aware (peka) atau tidak ambil tahu, sebaliknya UiTM sentiasa memastikan semua pihak termasuk pelajar di kolej kediaman mendapat akses internet sewajarnya.
“Semua alatan telah tersedia, tunggu nak pasang suis (peranti) itu sahaja. Kita sedang menunggu daripada pembekal,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Kata beliau, pihaknya juga telah membuat polisi dengan membenarkan pelajar mendapat akses di bangunan akademik dan kelas-kelas kuliah bagi mendapat capaian Wi-Fi yang lebih baik.
“Saya sudah buka ruang kepada para pelajar yang duduk dalam kampus dan kolej untuk pergi bangunan akademik sampai pukul 10 malam supaya dapat akses Wi-Fi itu,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya turut memaklumkan kepada para pensyarah agar turut melaksanakan teknik pembelajaran dalam talian menggunakan video.
“Jadi, para pelajar boleh memuat turun atau menelaah pembelajaran dalam video apabila mendapat akses internet.
“Pelajar juga harus bijak melakukan pengurusan masa untuk mengakses kerana bukan 24 jam pembelajaran secara dalam talian dijalankan. Apabila masuk kelas, barulah download, lepas itu offline dan apabila mahu submit (hantar) baru online semula,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pelan jangka pendek untuk memastikan capaian Wi-Fi, beliau memaklumkan ada menerima beberapa cadangan, namun masih dalam pertimbangan.
Kosmo! semalam melaporkan, akses Wi-Fi di universiti yang tidak stabil menyebabkan ramai pelajar berdepan masalah terutama bagi mengikuti pembelajaran dalam talian selain untuk mencari maklumat tambahan bagi tujuan menyiapkan tugasan.
Di Selangor misalnya, ada pelajar universiti awam yang membuka tingkap bilik di kolejnya setiap masa bagi mengelakkan capaian Wi-Fi hilang selain terpaksa mencari pusat siber untuk menyiapkan tugasan serta membeli data internet sendiri. -KOSMO! ONLINE














