GEORGE TOWN – Pembonceng wanita yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Bukit Bunga, Tanah Merah kelmarin tidak sempat melihat anak sulungnya melangsungkan perkahwinan pada Ogos ini.
Sharipah Saad, 48, meninggal dunia akibat kecederaan dalaman semasa menerima rawatan di Hospital Jeli kira-kira pukul 1.30 tengah hari kelmarin, manakala suaminya, Asmiran Dahari, 50, yang menunggang motosikal jenis Kawasaki GTR hanya cedera ringan.
Kejadian berlaku semasa pasangan suami isteri itu sedang berkonvoi bersama kumpulan Adventures Touring Motor sport (ATMS) Pulau Pinang ke Terengganu Bike Week.
Anak kedua Sharipah, Muhamad Akasha, 22, berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan daripada rakan bapanya yang memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku pada pukul 11.40 pagi kelmarin.
Menurutnya, ketika itu, dia dan abang sulung, Rofandi, 28, hanya dimaklumkan yang ibu mereka telah pengsan dan dikejarkan ke hospital.
“Sedih sebaik dimaklumkan oleh doktor yang ibu sudah pergi. Kali terakhir saya jumpa dengannya pada malam sebelum ibu dan ayah bertolak ke Terengganu pukul 7 pagi semalam (kelmarin).
“Ibu sempat memesan kepada saya supaya membeli makanan kucing dan cenderahati iaitu maggi 14 karton untuk majlis pernikahan abang sulung pada 21 Ogos nanti.
“Ibulah yang menguruskan semua persiapan majlis tersebut dan kini sudahpun selesai kira-kira 70 peratus. Saya memang tidak sangka, permintaannya itu adalah petanda dia akan meninggalkan kami tiga beradik,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Muhamad Akasha berkata, ibunya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini, namun dia dilihat kekal ceria dan sentiasa melemparkan senyuman kepada anak-anak.
“Masih terkenang lagi saat ibu tunaikan permintaan saya untuk hidangkan nasi pada hari Khamis dan Jumaat lalu dan kemudiannya dia ada memuat naik satu ciapan di akaun Facebook miliknya tentang ini.
“Kami reda dengan pemergiaan ibu walaupun dia tak sempat tengok abang naik pelamin dan terima menantu sulung. Allah lebih sayangkannya,” ujarnya dalam nada sebak.
Tambahnya lagi, ibu dan bapa mereka yang juga seorang pemandu bas sekolah itu dikatakan baru menyertai kumpulan motosikal ATMS Pulau Pinang sejak tahun lalu dan sudah enam kali mengikuti konvoi dengan geng permotoran tersebut.
Jenazah Sharipah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bayan Lepas di sini kira-kira pukul 3.30 petang semalam.














