fbpx
SEMUA kru produksi terkejut selepas puntianak sebenar muncul ketika mereka memulakan babak seram. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Puntianak muncul kacau kru di set drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJAYAKAN sebuah penggambaran drama, telefilem atau filem bergenre seram bukanlah satu perkara mudah.

Selain memerlukan penghayatan para pelakon untuk menjiwai watak yang diberi, faktor persekitaran atau lokasi penggambaran juga turut memainkan peranan penting bagi menghasilkan babak terbaik.

Namun, di sebalik kejayaan sesebuah drama atau filem seram sehingga mampu meraih rating tinggi, tidak ramai tahu bahawa ada waktu-waktu tertentu kru dan pelakon berdepan detik menakutkan.

Perkara itu diakui sendiri Suhairi (bukan nama sebenar) yang pernah terlibat dalam sebuah penggambaran drama bersiri genre seram ketika bekerja dengan sebuah syarikat penerbitan swasta kira-kira 20 tahun lalu.

Cerita Suhairi, kejadian seram itu berlaku ketika dia bersama kru dan para pelakon sedang menjayakan rakaman babak seram yang dilakonkan di sebuah kawasan sungai dan hutan di Jalan Gombak Lama, Gombak, Selangor.

“Salah satu siri dalam drama berkenaan berkisar tentang cerita sekumpulan pelajar universiti yang menjalani aktiviti luar di sebuah kawasan rekreasi.

“Nak dijadikan cerita, salah satu watak utama dalam siri berkenaan melibatkan seorang pelajar wanita yang agak nakal dan merancang untuk menakut-nakutkan rakan-rakan dengan memakai kostum puntianak,” katanya.

Kata Suhairi, pada hari kejadian, babak yang hendak dirakam itu dijadualkan bermula pukul 8 malam dan kru terlibat telah menyiapkan set penggambaran lebih awal melibatkan tapak perkhemahan di tepi sungai dan hutan.

Bagi babak itu, terdapat enam pelakon yang terlibat iaitu tiga lelaki dan tiga wanita dengan kesemua mereka kononnya bergembira sambil menyanyi di sebelah unggun api.

Sebaik semua kru dan pelakon bersedia, rakaman dimulakan dengan beberapa adegan dilakonkan terlebih dahulu melibatkan lokasi sama.

“Setelah hampir dua jam berlalu, tibalah masa untuk merakam babak seorang pelakon wanita mengenakan kostum puntianak.

“Apa yang peliknya, belum pun sampai lima minit beredar dari set penggambaran untuk memakai kostum, pelakon wanita tersebut dilihat berdiri di sebalik sebatang pokok besar berhampiran sungai dengan mengenakan pakaian serba putih dan berambut panjang mengurai.

“Tanpa berfikir panjang, pengarah kemudian mengarahkan agar lakonan dimulakan dengan beberapa orang kru mengawal alat bagi mengeluarkan asap, selain ada yang mengawal pencahayaan ke arah set penggambaran bagi meningkatkan mood seram,” katanya.


HATI-HATI bermalam di kawasan sungai di tepi hutan, takut diganggu makhluk halus. – GAMBAR HIASAN

Tambahnya, dalam babak berkenaan, pelakon wanita tersebut hanya diarahkan untuk bergerak dari pokok ke pokok seperti sedang menyorok, tanpa mengeluarkan sebarang suara.

Tetapi sesuatu menyeramkan telah berlaku apabila ‘watak puntianak’ tersebut bukan sahaja bergerak dengan pantas, tetapi turut terbang dan hinggap di sebatang dahan atas pokok sambil mengilai dengan kuat.

Akibat takut dengan apa yang disaksikan, semua kru dan pelakon lari lintang pukang meninggalkan set penggambaran untuk menyelamatkan diri dengan menuju ke arah sebuah dewan yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

“Sebaik semua tiba di dewan berkenaan, kami dapat lihat pelakon wanita yang sepatutnya melakonkan watak puntianak itu masih lagi dalam proses mendandan oleh jurusolek di satu sudut.

“Justeru, saya dan semua kru mula terbayangkan apa yang kami saksikan di set penggambaran sebelum itu bukanlah lakonan, tetapi jelmaan puntianak sebenar.

“Bagi mengelak kejadian lebih teruk berlaku, pengarah kemudian membuat keputusan agar penggambaran pada malam itu ditangguh dan hanya akan dilakonkan semula di lokasi baharu yang lebih selamat beberapa hari kemudian,” katanya.

Katanya lagi, selepas kejadian itu diketahui pemilik sebuah resort di situ, barulah diceritakan bahawa kawasan berkenaan sememangnya berpenunggu dan puntianak tersebut dikatakan akan ‘keluar’ sekiranya ada orang mengganggu kawasannya.

Tambahnya, selama lima tahun berkecimpung sebagai kru penggambaran, itu merupakan pengalaman paling menyeramkan yang pernah dialaminya.

Dia yang kini telah bertukar profesyen sebagai seorang kakitangan kerajaan turut mengakui tidak dapat melupakan detik cemas itu, sehingga membuatkan dia fobia untuk berkhemah di dalam hutan pada waktu malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN