KUALA TERENGGANU – Pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram, ayam dan telur ayam mulai 1 Julai ini pasti menambah beban peniaga yang selama ini bergelut untuk kekal relevan dalam industri.
Seorang peniaga kedai makan, Sabarudin Ramli, 39, berkata, pemansuhan subsidi akan meningkatkan lagi kos operasi yang sudah semakin tinggi.
“Saya makin tertekan dan dilema antara kelangsungan perniagaan dan kebajikan pelanggan.
“Ketika ini pun sudah rasa tekanan dengan penambahan modal lebih RM300 sehari apatah lagi bila tiba 1 Julai. Mungkin kerajaan boleh menimbang untuk memberi subsidi bersasar kepada peniaga,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Tok Jiring di sini semalam.
Di Sungai Petani, peniaga roti canai, Badron Hisham Bahari, 52, berkata, keputusan kerajaan itu akan menyebabkan perbelanjaan isi rumah dan kos perniagaannya meningkat secara mendadak.
Bagaimanapun, dia yang berniaga di Kampung Bukit Berangan di Kota Kuala Muda menganggap perkara itu sukar dielak susulan keadaan ekonomi di peringkat global yang tidak baik ketika ini.
Katanya, dia terpaksa menaikkan harga jualan roti canai susulan kenaikan harga minyak dan telur.
“Saya sudah naikkan harga roti canai telur daripada RM2 kepada RM2.50 sebiji kira-kira sebulan lalu dan jika ada kenaikan lagi selepas 1 Julai ini mungkin saya terpaksa naikkan harga lagi.
“Saya sebolehnya tidak mahu naikkan harga memandangkan saya hanya berniaga di kawasan kampung dan kebanyakkan pelanggan saya juga bukannya orang senang,” katanya.

Pengusaha restoran, Muhamad Rozi Kasim, 30, pula berkata, keputusan kerajaan itu akan menyebabkan taraf hidup rakyat sedikit terjejas dan berlakunya kenaikan harga barang serta perkhidmatan.
“Jika sebelum ini perbelanjaan harian untuk barang dapur adalah antara RM30 hingga RM50 sehari dan kemungkinan akan meningkat kepada RM50 hingga RM70 pula sehari,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pembekal telur dan peruncit di Semenyih, Nor Azlina Jais, 49, berkata, dia hanya mendapat untung antara 70 sen hingga RM1 untuk sepapan bahan itu.
“Ketika ini harga telur gred A sepapan ialah RM13.90, RM13.20 (B) dan RM12.60 (C). Memang telur ayam yang saya jual mahal berbanding di pasar raya tetapi ia berkualiti dan segar diambil dari ladang.
“Jadi selepas 1 Julai, saya tidak pasti berapa kenaikan kepada harga telur ayam kerana bergantung kepada harga yang diperolehi dari ladang” katanya.
Sementara itu, Pengarah Lesong Food Industries Sdn. Bhd., Datin Nurul Ahmad berkata, harga minyak masak keluaran syarikatnya bagi pek botol akan dinaikkan berdasarkan kepada harga semasa.
“Minyak botol tidak bersubsidi dan bukan untuk kumpulan B40. Pembekal memang suka jika subsidi dimansuhkan kerana akan dapat untung lebih,” katanya.














