KOTA TINGGI – Rezeki tak pernah salah alamat apabila perkahwinan seorang murid dengan gurunya yang tular sebelum ini membuatkan restoran Samballana Bistro yang diusahakan pasangan suami isteri itu ‘meletup’ dan dikenali ramai.
Restoran berkonsepkan moden village di Jalan Kolam Air di sini begitu laris selepas Muhammad Akmal Yusof, 23, tular kerana bernikah dengan guru sains sukannya, Suhana Mohd. Esa, 48.
Walaupun jurang usia yang ketara iaitu 25 tahun, Muhammad Akmal mengakui dia kini lebih matang bukan sahaja dalam soal rumah tangga, bahkan perniagaan.
Katanya, ketika sekolah mereka agak rapat sebagai anak murid dan guru tetapi tidak serius.
“Hubungan kami terputus seketika sebelum kami bertemu kembali. Ketika itu, saya ambil keputusan untuk menghadiahkan dia cincin ketika hari ulang tahun kelahirannya untuk melamar.
“Keluarga agak terkejut tetapi akhirnya menerima. Syukur, kini kami sama-sama menaikkan restoran yang dinamakan sempena nama isteri,” katanya ketika ditemui.
Menurut Muhammad Akmal, restoran itu menjadi popular selepas perkahwinan mereka tular sebagai anak murid dan guru.
Tambahnya, pelanggan datang dari serata Malaysia yang ingin merasai menu seperti shellout tujuh rasa, nasi kambing bakar, spageti aglio olio dan lain-lain.
Sementara itu, Suhana berkata, dia meminta agar suaminya berfikir masak-masak sebelum mahu menjadikannya isteri.
“Ketika terputus seketika, saya memang menjarakkan diri dengan dia untuk memberi ruang, namun takdir menemukan kami dan ia sudah jodoh,” katanya yang kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar di sini.
Menurut Suhana, mereka ada juga menerima komen yang negatif bila mereka berkahwin terutama ketika membuat live di Facebook untuk mempromosikan menu restoran.
“Namun, saya jadikan ia cabaran dan hanya ambil yang positif. Jika asyik fikir negatif, hidup akan lebih tertekan dan sudah tentu menjejaskan perniagaan,” katanya yang suka dengan sikap tenang dan suka memujuk yang dimiliki suaminya.
Tambahnya, perkahwinan mereka menjadi rujukan buat sesetengah orang yang berhasrat untuk bernikah pada jarak usia yang agak jauh.
Pasangan itu bercadang untuk mengembangkan lagi perniagaan ke bandar Melaka dan Johor Bahru.
Selain masakan, restoran itu turut menjual produk pes secara online.














