PONTIAN – Pemilik dusun durian di daerah ini tidak menang tangan melayan ramai pelanggan yang datang untuk membeli raja buah yang kini mula gugur secara terus kepada mereka.
Durian kampung dijual di dusun atau rumah pekebun pada harga serendah RM5 sekilogram sahaja, manakala durian kahwin pula RM8 sekilogram.
Seorang pemilik dusun dari Kampung Melayu Raya, Azmi Mohamed, 51, berkata, sejak dua minggu lalu, dia mula sibuk mengutip dan mengumpul buah durian.
Katanya, buah durian di dusun seluas 4.4 hektar termasuk milik keluarganya mula gugur dan memerlukan lebih perhatian supaya dapat dikutip serta dikumpul segera.
“Sepertimana musim durian sebelum ini, saya tidak menjualnya di luar, sebaliknya hanya menunggu pembeli termasuk pemborong yang datang ke kebun pada sebelah pagi atau petang.
“Alhamdulillah, hampir keseluruhan daripada 140 pokok durian berbuah kali ini menyebabkan saya tidak menang tangan untuk melayan pelanggan yang datang setiap hari.
“Ada pelbagai jenis durian seperti durian kampung, durian kahwin dan sebagainya yang menjadi tarikan pembeli,” katanya ketika ditemui.
Azmi memberitahu, dia menjangkakan pengeluaran keseluruhan kali ini melebihi 200,000 biji durian berdasarkan pemerhatian pada setiap pokok walaupun dilanda masalah cuaca pada waktu berbunga sebelum ini.
Seorang lagi pemilik dusun dari Kampung Paya Embun, Jais Munaseri, 50, juga sibuk ‘melayan’ sebanyak 30 pokok durian yang kesemuanya berbuah.
Menurutnya, dianggarkan 5,000 biji durian mula gugur pada minggu lalu dan berterusan pada bulan ini.
“Saya jual durian di rumah sahaja. Ini adalah sumber pendapatan tambahan kepada saya dan musim durian dianggap sebagai bonus tahunan.
“Kerja-kerja di bengkel besi saya akan ditangguhkan dahulu buat sementera kerana perlu mengutip dan mengumpul buah durian pada waktu pagi dan juga sebelah petang untuk dijual,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan terutama di Pekan Nanas mendapati, semakin banyak gerai dan pondok menjual buah durian pelbagai jenis dibuka di tepi jalan bagi memudahkan orang ramai membeli raja buah tersebut.














