fbpx
MOHAMAD FEISAL (kanan) menerangkan tentang penanaman vanila kepada seorang pengunjung di Amani Vanila Temerloh

Ketahui segala tentang vanila di Temerloh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Planifolia Andrews atau vanila berasal daripada Mexico dan asalnya digunakan sebagai rempah purba oleh kaum Asli di sana sebagai penyedap tembakau.

Ia ditemukan di hutan Mexico dan kemudian negara tersebut menjadi pengeluar utama dunia bagi tanaman yang dikenali sebagai emas hijau ini.

Namun siapa sangka, rempah kedua termahal di dunia yang mencecah harga hampir RM2,000 sekilogram ini kini ditanam dan tumbuh subur di daerah Temerloh, Pahang yang terkenal dengan keenakan ikan patin Sungai Pahang.

Penanaman vanila di daerah titik tengah Semenanjung itu mula diusahakan oleh Mohamad Feisal Mohamed Norawi sejak 2008 melalui Amani Vanila Temerloh, kini menjadi pusat sehenti vanila di negeri ini, malahan di Malaysia.

MOHAMAD FEISAL menjadi antara perintis dalam industri vanila.

Menurut bapa kepada lima anak itu, pada masa ini dia mempunyai lebih 8,000 pokok vanila ditanam di sekitar Temerloh dan di seluruh negara termasuk oleh pengusaha baharu yang mendapat tunjuk ajar daripadanya.

Selain itu katanya, dia juga menjalinkan kerjasama dengan pengusaha di luar Pahang seperti Sabah dan Sarawak bagi menanam pokok vanila.

“Pada masa ini, Amani Vanila Temerloh yang terletak di Kampung Bangau Parit bukan sahaja mempunyai tanaman pokok vanila, tetapi juga mempunyai kafe yang menyediakan produk makanan berasaskan vanila seperti ais krim yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Di sini pengunjung dapat melihat sendiri pokok-pokok vanila dan terdapat juga ruang galeri yang mempunyai maklumat mengenai vanila termasuk ciri-ciri produk berkenaan.

“Selain itu, saya turut menganjurkan kursus untuk mereka yang berminat mengusahakan vanila,” katanya di sini baru-baru ini.

FELISA AMANI menunjukkan aiskrim vanila asli dan juadah di Cafe Amani Vanila Temerloh di Temerloh.

Menurut Mohamad Feisal, pada masa sekarang, buah-buah vanila ini sememangnya masih tidak mencukupi dan saya sendiri membelinya untuk membuat pelbagai produk seperti ais krim vanila asli.

Katanya, pelbagai produk dihasilkannya daripada vanila asli seperti ais krim dan bahan makanan lain seperti kopi vanila dan serbuk vanila mendapat sambutan hangat.

Tambahnya, dia juga mengadakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan vanila tidak terhad kepada makanan semata-mata.

Katanya, kini dia menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam tanaman vanila seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang, Risda dan pelbagai pihak lagi.

“Setakat ini, saya melaksanakan 18 siri latihan melibatkan lebih 500 peserta.

“Saya juga mempunyai pasukan ‘Dr. Vanila’ yang mempunyai kepakaran merawat pokok dan memberi khidmat nasihat kepada pengusaha yang menghadapi masalah penanaman pokok termasuk berkaitan penyakit,” ujarnya.

EKSTRAK vanila dan buah vanila dikeringkan yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk.

Sementara itu, mengimbas mengenai sejarah penglibatannya dalam tanaman vanila, Mohamad Feisal berkata, ia bermula apabila dia belajar sendiri melalui pelbagai platform seperti jurnal, saluran YouTube dan sebagainya sebelum memulakan penanaman.

Malah katanya, pengalaman ditipu sebuah syarikat sehingga mengalami kerugian kira-kira RM20,000 bagi memulakan penanaman vanila tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.

“Saya melabur untuk membeli pakej benih sebanyak 1,000 pokok vanila, tetapi yang sampai hanya 200 pokok sahaja sebelum syarikat berkenaan menyepi.

“Saya kemudian tekad unutk mempelajari cara-cara menanamnya melalui internet.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan doa serta tunjuk ajar daripada pelbagai pihak, akhirnya saya beroleh pencapaian seperti pada hari ini,” ujarnya.

ANTARA anak pokok vanila yang turut dijual kepada pengunjung.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN