MARAN – Kenaikan harga sawit sejak kebelakangan ini telah mengubah kehidupan peneroka Felda yang kini mampu hidup selesa dengan pendapatan bulanan mencecah puluhan ribu ringgit.
Bagaimanapun, di sebalik kemampuan mereka untuk membina rumah baharu dan membeli kenderaan berjenama, masih ada peneroka yang terpaksa berputih mata dan hanya mampu melihat kemewahan rakan-rakan.
Situasi berlaku apabila ada antara mereka yang telah memajakkan tanah milik sendiri kepada pemajak untuk tempoh 10 hingga 20 tahun dengan bayaran sekitar RM50,000 hingga RM100,000 berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.
Lebih malang lagi, tindakan itu juga dibuat tanpa pengetahuan anak-anak.
Seorang peneroka dari Felda Wilayah Jengka di sini dikenali sebagai Mat berkata, dia sememangnya menyesal kerana telah memajak tanah sawitnya sejak 10 tahun lalu.
“Sekarang ini, saya lihat ramai yang dapat merasa pendapatan bulanan yang tinggi dan mampu membeli barang-barang serta membuat rumah baharu.
“Kalau boleh memang saya mahu ambil semula tanah itu, tetapi apa boleh buat kerana kami sudah buat perjanjian. Jadi, saya hanya mampu melihat kemewahan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Mat, pada usianya yang mencecah 60-an, dia sememangnya tidak mampu lagi untuk mengusahakan tanah tersebut.
Berita berkaitan: Peneroka Felda raya bergaya
Katanya, dia bertindak memajak tanah sawit berkenaan kerana memerlukan duit segera selain harga sawit yang rendah ketika itu.
Untuk rekod, harga setan minyak sawit mentah ketika ini adalah mencecah RM7,000, iaitu meningkat berbanding sekitar RM4,000 dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Peningkatan mendadak bahan komoditi itu menyaksikan kumpulan peneroka di seluruh negara meraih durian runtuh dengan pendapatan bulanan mencecah puluhan ribu ringgit.
Seorang peneroka wanita yang mahu dikenali Aminah berkata, walaupun harga sawit ketika ini sangat tinggi, namun dia terpaksa hidup susah dan mengharapkan bantuan anak-anak untuk membeli keperluan harian selepas tanah mereka dipajak oleh arwah suaminya.
Katanya, tindakan memajak tanah berkenaan menyebabkan dia juga hilang pelbagai keistimewaan daripada Felda termasuklah untuk berhutang bagi membeli barangan keperluan.
“Mungkin tiada rezeki untuk menikmati hasil yang tinggi dan terpaksa hidup susah,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Biro Sosial Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, terdapat peneroka yang memajak tanah mereka kini berhasrat untuk mendapatkan kembali tanah berkenaan dengan berbincang semula dengan pemajak.
Katanya, setakat ini terdapat beberapa individu yang berjaya menyelesaikan kemelut itu dengan melakukan perbincangan dengan pemaju termasuklah membayar semula ganti rugi.
“Mereka yang ingin mendapatkan semula keistimewaan sebagai peneroka perlu menjual sawit kepada Felda sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut menggunakan akaun mereka,” ujarnya.














