fbpx
PENJAGA pesakit diabetes memerlukan tahap ketahanan fizikal dan mental yang kuat kerana berdepan dengan cabaran yang boleh menjejaskan banyak aspek kehidupan mereka sendiri. – GAMBAR HIASAN

Cabaran emosi jaga pesakit diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Manual Pendidikan Diabetes 2020 yang diterbitkan oleh Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia menyatakan, tujuh juta orang
dewasa Malaysia berkemungkinan menghidap diabetes menjelang 2025.

Ini satu trend yang membimbangkan dan bakal menyaksikan sebanyak 31.3 peratus pesakit diabetes dewasa berumur dari 18 tahun ke atas. Jumlah ini juga pada masa sama, meningkatkan bilangan penjaga pesakit diabetes, yang secara amnya terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

Kempen For Your Sweetheart sempena Hari Kesihatan Sedunia tahun ini, lebih memfokuskan kepada penjaga dan kepentingan mereka untuk menjaga diri sendiri menerusi video bertajuk Diabetes Serious Meh yang boleh ditonton di www.foryoursweetheart.my.

Video ini memaparkan pengalaman beberapa pesakit diabetes serta cabaran yang dihadapi oleh penjaga sepanjang bersama pesakit.

Kajian menunjukkan, seorang daripada lima orang dewasa di negara ini menghidap diabetes, penyakit kronik jangka panjang yang memerlukan penjagaan berpanjangan.

Oleh itu, dengan trend peningkatan pesakit diabetes, peningkatan beban penjaga juga tidak seharusnya diabaikan.
Pendidik diabetes bertauliah Dr. Tan Ming Yeong berkata, penyakit itu merupakan suatu kondisi seumur hidup.

Katanya, hidup dengan diabetes serta pengurusan hariannya melibatkan pelbagai cabaran fizikal dan psikologi yang boleh menjejaskan banyak aspek kehidupan penghidap diabetes, keluarga serta penjaga mereka.

Permintaan penjagaan meningkat jika penghidap diabetes bergantung sebahagian atau sepenuhnya kepada penjaga terutamanya golongan muda, tua atau mereka yang mengalami komplikasi diabetes.

Tuntutan ini menyebabkan penjaga terdedah kepada tekanan fizikal dan emosi yang boleh menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup mereka.

Berdasarkan pengalaman dikongsikan daripada ramai penjaga, ia merupakan perkara biasa bagi mereka berhadapan dengan tekanan emosi, keletihan fizikal dan juga masalah kesihatan akibat kekurangan masa dan tenaga untuk penjagaan diri sendiri.

Justeru, penjaga pesakit diabetes dalam keluarga juga berisiko tinggi untuk menghidap masalah perubatan seperti diabetes dan hipertensi.

Seorang penjaga yang hanya mahu dikenali sebagai Shanti berkongsi cabaran menguruskan bapanya seorang penghidap diabetes berusia 70 tahun yang mengalami komplikasi jantung disebabkan diabetes dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung.

Katanya, menjaga bapanya terutama selepas menjalani pembedahan pintasan jantung amat mencabar sekali.
Ujar Shanti, bapanya benar-benar menderita sewaktu prosedur tersebut dan penjagaan selepas pembedahan juga tidak mudah.

“Dia bukanlah pesakit yang senang dijaga dan sebagai anak sulung, beban untuk menjaga terletak di bahu saya.

“Menyaksikan penderitaan yang ditanggungnya, tidak dapat saya bayangkan jika saya menghidap diabetes.

KEMPEN ujian saringan percuma sangat penting bagi mengesan diabetes di peringkat awal dan mengawalnya daripada terus bertambah buruk.

“Tuntutan penjagaan cukup memenatkan dan membebankan saya,” katanya.

Kesejahteraan penjaga adalah penting kerana penghidap diabetes bergantung sepenuhnya kepada mereka untuk rawatan serta sokongan.

Membantu penjaga dalam mengurus tekanan, mengembalikan keseimbangan, kegembiraan dan harapan mereka dalam kehidupan pasti memberikan kesan kepada kualiti hidup penghidap diabetes.

Perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh penjaga untuk pesakit adalah dengan memastikan kesejahteraan fizikal dan psikologi mereka sendiri.

Bagi membantu semua rakyat Malaysia, terutamanya penjaga, kempen Your Sweetheart menjemput semua rakyat untuk kekal sihat menerusi ujian saringan diabetes HbA1c percuma di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Inisiatif murni ini adalah bagi mewujudkan kesedaran awam tentang hubung kait diabetes dan penyakit jantung.
Pemeriksaan diabetes percuma ini disokong oleh Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan Diabetes Malaysia (DM). Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, boleh melayari www.foryoursweetheart.my.

Dalam pada itu, seorang pesakit diabetes yang ingin dikenali sebagai Ghazali, 67, yang menghidap diabetes sejak 17 tahun lalu menasihati masyarakat di luar sana terutamanya golongan muda agar mengawal tabiat pemakanan.

Dia yang kini dijaga oleh isterinya memberitahu, ini kerana, apabila menghidap diabetes, memang sukar untuk menguruskannya secara bersendirian.

Tambahan pula ujarnya, diabetes akan memberi kesan kepada anggota tubuh lain seperti jantung dan buah pinggang.

“Saya juga mendapat tahu pesakit diabetes adalah empat kali lebih mudah untuk menghidap penyakit jantung.

“Oleh itu, jika mempunyai ahli keluarga yang ada diabetes, atau anda fikir anda berisiko, sila lakukan ujian kerana pengesanan awal sangat membantu dalam pengurusannya.” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN