fbpx
Aiman mengakui perniagaannya semakin tersepit berikutan kenaikan kos tepung gandum ketika ditemui di George Town baru-baru ini.

‘Nak naik harga, tapi takut pelanggan lari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Peniaga roti canai di negeri ini mula pening kepala memikirkan tentang harga terkini bekalan tepung gandum guni yang naik mendadak ketika umat Islam masih dalam suasana sambutan Aidilfitri.

Ketika ini, harga bagi setiap kotak yang mengandungi 10 kilogram tepung gandum jenama Cap Kompang dijual pada harga tidak menentu iaitu antara RM28 hingga RM30.

Berbanding Ramadan lalu, harga bahan membuat doh roti canai itu dipasar pada harga RM23.

Seorang pengusaha Man Roti Canai di Bayan Lepas, Aiman Rozaini, 20, berkata, dia mula berasa terbeban dengan kenaikan terlampau harga bagi bahan utama membuat roti canai tersebut.

Dakwanya, situasi tersebut mula berlaku sewaktu menjelang perayaan Aidilfitri lagi apabila peniaga runcit mula menetapkan harga yang tidak menentu.

“Kami memang terasa dengan harga barangan keperluan membuat roti canai yang naik lagi ketika ini. Kami terpaksa berdepan beberapa kali kenaikan harga tepung gandum sejak Januari lalu.

“Bukan setakat bekalan tepung gandum, marjerin cap Pelangi juga naik sehingga RM2 menjadi RM9.70 sekilogram pada Aidilfitri ketika ini.

“Memang susah hati dan terasa semakin terbeban kerana kami masih mengekalkan harga sama bagi sekeping roti canai biasa iaitu RM1.20, manakala roti telur RM2.30 sekeping. Ekoran keadaan ini, kami memperoleh keuntungan hanya suku daripada hasil jualannya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, harga sekeping roti canai terpaksa dinaikkan sebanyak 20 sen bermula Januari lalu susulan berdepan beberapa kenaikan harga barangan keperluan utama membuat roti canai.

Seorang lagi peniaga roti canai yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 42, berkata, kerajaan perlu memantau sekali gus menyelesaikan segera beberapa isu melibatkan kenaikan harga barangan keperluan utama yang dihadapi para peniaga.

“Bila naik harga sikit, mulalah pelanggan bising dan merungut tetapi hakikatnya mereka tidak tahu masalah kami,” katanya.

Di Kuala Terengganu, sebahagian besar peniaga roti canai di daerah ini masih mengekalkan harganya meskipun berdepan kenaikan harga tepung gandum sejak beberapa bulan lalu.

Seorang peniaga, Ahmed Ali Hamid, 42, berkata, harga tepung gandum kini mencecah RM58 seguni atau 25 kilogram berbanding RM52 pada awal tahun ini.

“Saya tetap memilih mengekalkan harga roti canai selain menyerap kenaikan harga tepung gandum di pasaran walaupun berisiko kerugian.

“Jika harga makanan dinaikkan, saya bimbang pelanggan ‘lari’ ke kedai lain. Saya tidak sanggup hilang pelanggan tetap.

“Pelanggan yang makan di sini hanya perlu bayar RM1.20 untuk sekeping roti canai, manakala RM2.20 untuk roti telur,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Kamal Wahid, 32, pula berkata, kenaikan harga bahan mentah sedikit sebanyak membebankan golongan peniaga.

Di Pontian, seorang peniaga di Taman Merdeka, Junaidi Mohamad berkata, kos bahan mentah meningkat menjadi antara faktor utama kenaikkan harga makanan simbolik Malaysia itu.

“Harga tepung kalau seguni dahulu dalam RM50 sahaja, sekarang sudah RM70. Itu baru tepung, belum harga telur, marjerin, mentega dan lain-lain.

“Kami sebelum ini belum menaikkan harga lagi, tapi tak tahan nak tanggung kenaikan kos harga barang. Kami terpaksa naikkan sebanyak 20 sen bagi roti canai kosong menjadi RM1.20 seke­ping,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN