RAWANG – Seorang lelaki warga asing mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas terjatuh dari air terjun di Taman Rimba Kanching, di sini hari ini.
Penyelia Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Alimulhakim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Pusat Gerakan Selangor pada pukul 2.31 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang telah dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan.
“Laporan awal mendapati insiden berlaku membabitkan seorang lelaki warga asing yang terjatuh daripada air terjun.
“Bagaimanapun, mangsa telah di bawa ke bawah oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa juga telah dihantar kepada pihak Klinik Kesihatan di Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














