KUALA LUMPUR – Sebuah pusat karaoke yang disyaki menjual minuman keras tanpa lesen sah diserbu sepasukan anggota polis di Icon City, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah mengesan aduan awam berhubung aktiviti premis terbabit.
“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menjalankan Op Cantas Khas pada pukul 11.15 malam tadi.
“Hasil serbuan, seramai 13 lelaki dan 11 wanita telah diperiksa di dalam premis hiburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati premis itu mempunyai lesen hiburan yang sah, namun premis berkenaan didapati menjual minuman keras tanpa lesen yang sah.
“Kita akan mengambil tindakan di bawah Akta Eksais 1976,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya permah melakukan dua serbuan di premis yang sama pada Ogos dan Oktober tahun lalu.
“Tindakan telah dikenakan ke atas premis hiburan itu termasuk pengunjung yang didapati melakukan pelbagai kesalahan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Penyakit Berjangkit dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222. – KOSMO! ONLINE
















