fbpx

Pesara tentera maut, isteri parah kereta bertembung SUV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta dinaiki kedua-dua mangsa selepas terlibat kemalangan di Kilometer 36.4, Jalan Kota Bharu - Kuala Krai, Machang semalam. - Foto IHSAN POLIS

MACHANG – Seorang pesara tentera maut manakala isterinya parah selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berada di laluan bertentangan di Kilometer 36.4, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai dekat Bukit Belah di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Kassim Hassan, 66, meninggal dunia di lokasi kejadian dan isterinya, Fatimah Mamat, 68, kini sedang dirawat di Hospital Machang di sini selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superitendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri itu menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah SUV jenis Toyota Harrier yang berada di laluan bertentangan.

“Insiden itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang berada di belakang SUV cuba mengelak kemalangan namun, merempuh belakang kenderaan tersebut.

“Mangsa dipercayai tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya parah. Pemandu SUV yang berusia 38 tahun pula hanya mengalami luka pada bahagian tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shuhaimi, pemandu kereta jenis Proton Saga FLX dan tiga penumpang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian mangsa semasa memandu kereta.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI