fbpx
HARISON menunjukkan koleksi gambar Noor Suzaily yang masih disimpannya ketika ditemui di rumahnya di Taman Suriani, Kangar baru-baru ini.

‘Saya istighfar, ambil wuduk apabila terbaca berita wanita dibunuh kejam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – “Setiap kali mende­ngar atau membaca berita wa­nita mati dibunuh secara kejam, saya akan beristighfar, mengambil wuduk, berdoa dan mengha­diahkan surah al-Fatihah kepada arwah anak saya.”

Itu yang dilakukan oleh Harison Husin, 73, ibu jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar yang mati dibunuh selepas dirogol di dalam sebuah bas ekspres di Klang, Selangor 22 tahun lalu. Ketika itu Allahyarham berusia 24 tahun.

Menurut Harison, dia tidak pernah lupa tragedi pahit yang menimpa anaknya kerana ia me­ninggalkan mendalam kepada dirinya terutama sepanjang beberapa tahun selepas kejadian.

Katanya, walaupun sudah lebih dua dekad kejadian itu berlaku, ia sangat sukar dilupakan Noor Suzaily yang mesra dipanggil Suzy itu merupakan satu-sa­tunya anak perempuan yang menjadi kesayangan keluarga.

“Seingat saya, sebaik mene­rima perkhabaran bahawa anak perempuan saya telah pergi buat selama-lamanya, ketika itu hati ini menjadi kosong dan buntu, tiada apa dalam fikiran.

“Sukar untuk saya terima, Suzy pergi meninggalkan kami dalam keadaan sebegitu rupa. Ketika itu, ramai yang datang ke rumah dari seluruh pelosok negara memberikan sokongan kepada kami sekeluarga, namun ia tidak kabur daripada ingatan,” ceritanya ketika ditemui di Taman Suriani di sini baru-baru ini.

NOOR SUZAILY

Dalam kejadian pada 7 Oktober 2000 itu, Noor Suzaily dibunuh oleh seorang pemandu bas, Hanafi Mat Hasan ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta di ibu negara dengan menaiki sebuah bas ekspres.

Tragedi itu berlaku antara Lorong Pegaga, Taman Chi ­Liung dengan Taman Bukit Tinggi di Klang, Selangor sekitar pukul 8.50 pagi hingga 9.15 pagi pada hari pertama mangsa dikatakan dalam perjalanan melaporkan diri di tempat kerja baharu.

Laluan bas dinaiki Noor Suzaily dilencongkan dan mangsa menjerit meminta pertolongan serta cuba menyelamatkan diri, namun gagal selepas Hanafi me­ngunci semua pintu menggunakan suis automatik sebelum menampar dan menumbuk gadis tersebut dalam satu pergelutan.

IMBAS kembali. Hanafi dihukum mati kerana membunuh Noor Suzaily.

Hasil bedah siasat mendapati anak kedua daripada empat beradik itu dirogol dan dibunuh kejam dengan 44 kesan kecederaan pada bahagian tubuhnya.

Hanafi dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh mangsa mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Harison, suaminya, Mukhtar Ibrahim, 73, telah me­ninggal dunia akibat masalah paru-paru pada Januari 2019.

Tambahnya, arwah Mukhtar telah membawanya menjalani pelbagai kaedah rawatan terma­suk di hospital, tradisional dan perubatan Islam bagi menghilangkan trauma dialaminya.

“Susah untuk saya menerima hakikat anak saya diperlakukan sedemikian rupa dan meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati. Ketika itu, hilang semangat, susah untuk menerima kenya­taan yang hidup pasti akan mati.

“Namun, dengan izin Allah serta sokongan keluarga, jiran serta rakan-rakan, semangat saya kembali pulih dan mene­rima ketentuan Ilahi setelah mengambil tempoh yang agak panjang,” ujarnya dengan tenang.

BILIK tidur Noor Suzaily sentiasa dikemas Harison dan hanya digunakan untuk solat dan berdoa untuk arwah.

Ujar Harison, barangan peri­badi dan bilik tidur anak gadisnya itu sentiasa dalam keadaan terjaga dan sering menggunakan bilik tersebut untuk bersolat dan serta menitipkan doa buat arwah sebagai tanda kasih seorang ibu tidak pernah putus.

“Arwah merupakan seorang yang periang dan peramah. Suzy juga biasanya akan mengambil cuti untuk pulang menyambut Ramadan bersama keluarga selain kami juga akan membuat kuih moden seperti Almond London menjelang Aidilfitri,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN