fbpx

Mahkamah batal rayuan pendakwaan terhadap Farid Kamil 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farid Kamil

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan pihak pendakwaan  terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menggantikan hukuman penjara empat bulan terhadap pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari kepada denda RM500 mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Perkara itu dimaklumkan peguam Kee Wei Lon yang mewakili Farid Kamil, ketika dihubungi di sini hari ini. Hari ini mahkamah menetapkan sebutan bagi kes rayuan tersebut.

Dalam prosiding hari ini tiga panel hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.

Menurut peguam itu, mahkamah memutuskan demikian atas alasan pihak pendakwaan tidak menyatakan tarikh rekod rayuan diterima daripada Mahkamah Tinggi dalam affidavit permohonan mereka.

Sebelum ini pada 5 Januari lalu, panel tiga hakim tersebut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan lanjutan masa pemfailan petisyen rayuan terhadap hukuman di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 atas alasan pihak pendakwaan tidak menyatakan sebab yang mencukupi bagi menyokong permohonannya (lanjutan masa).

Pada prosiding sama ketika itu, panel terbabit turut menolak permohonan Farid Kamil untuk mendapatkan kebenaran merayu sabitan dan denda berjumlah RM5,500 bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan di balai polis.

Permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan di bawah Seksyen 50(2) Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 diperlukan kerana kedua-dua kes bermula dari Mahkamah Majistret.

Pada Jun 2020, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid selepas didapati bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan itu terhadap Farid bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang mana kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Farid didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, Petaling Jaya pukul 1.20 petang pada 11 Januari 2018.

Bagaimanapun pada 23 Ogos tahun lalu (2021) Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menggantikan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan melibatkan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000 manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mahkamah mengambil kira perayu telah membayar pampasan dalam bentuk kompaun kepada pihak- pihak termasuk anggota polis telibat dalam kejadian itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI