Ramai pemilik kenderaan berpendapat pemasangan kamera papan pemuka bukan sekadar aksesori tambahan, tetapi mempunyai peranan besar sebagai alat bagi merakam sebarang kejadian di atas jalan raya.
“Memang seronok bila dapat memiliki kereta kerana saya dapat ke mana sahaja bersama keluarga, terutama pulang ke kampung untuk menziarahi bapa dan ibu selain bercuti.
“Disebabkan ini kereta terpakai dan model yang agak lama, saya perlu mengeluarkan sedikit modal tambahan untuk membeli beberapa peralatan tambahan terutama dashcam atau kamera papan pemuka kerana sudah menjadi satu peranti penting pada ketika ini.
“Saya bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini ketika memandu kereta terpakai ini, sekurang-kurangnya saya mempunyai bukti tentang apa yang berlaku,” kata seorang pemilik kenderaan terpakai, Mohd. Baihaqi Adnan kepada K2.
Kebimbangan Mohd. Baihaqi itu ada asasnya memandangkan kemalangan jalan raya dan kes buli jalan raya kerap berlaku disebabkan pelbagai faktor sama ada kecuaian diri sendiri, pemandu lain atau faktor-faktor sampingan seperti benda asing, khianat dan sebagainya.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
SEBAIK sahaja memiliki sumber kewangan yang agak kukuh, Mohd. Baihaqi Adnan, 27, akhirnya membuat keputusan untuk membeli sebuah kenderaan terpakai bagi kegunaannya sekeluarga.
Selepas membuat tinjauan dan berkunjung ke beberapa buah kedai menjual kenderaan terpakai di sekitar Lembah Klang, dia akhirnya membeli sebuah kereta yang diinginkan.
“Memang seronok bila dapat memiliki kereta sendiri kerana saya dapat ke mana sahaja bersama keluarga, terutama pulang ke kampung untuk menziarahi bapa dan ibu selain bercuti.
“Disebabkan ini kenderaan terpakai dan model yang agak lama, saya perlu mengeluarkan sedikit modal tambahan untuk membeli beberapa peralatan tambahan terutama kamera papan pemuka kerana sudah menjadi satu peranti penting pada ketika ini.
“Saya bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini ketika memandu kereta terpakai ini, sekurang-kurangnya saya mempunyai bukti tentang apa yang berlaku,” katanya kepada K2.
Kebimbangan Mohd. Baihaqi itu ada asasnya memandangkan kemalangan jalan raya dan kes buli jalan raya kerap berlaku disebabkan pelbagai faktor sama ada kecuaian diri sendiri, pemandu lain atau faktor-faktor sampingan seperti benda asing, khianat dan sebagainya.

Malah, jika dilihat kepada kes-kes kemalangan jalan raya selain buli yang berlaku di atas jalan raya pada masa ini, kebanyakannya sampai kepada pengetahuan umum dan pihak berkuasa selepas video atau gambar yang dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan berkaitan kejadian itu tersebar di media-media sosial.
Gari
Baru-baru ini juga tular video berdurasi 2 minit 20 saat yang menunjukkan pemandu kereta Proton Persona menurunkan tingkap dan menayangkan gari ketika menukar laluan.
Kejadian dipercayai berlaku di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur itu dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain.
Video yang ditonton lebih 13,000 kali dalam tempoh kira-kira 24 jam itu turut mengundang komen netizen yang mengecam pemandu itu kerana secara jelas melanggar peraturan jalan raya ekoran tidak memberikan lampu isyarat ketika memintas sebaliknya menayangkan gari.
Sebagai respons terhadap rakaman tersebut, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delihan Yahaya berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat sebaik sahaja video itu tular.

Dalam satu kejadian lain yang berlaku di Kilometer 75, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kuala Krai, Kelantan pada 14 November 2020 pula, seorang pemandu lori kontena ditahan polis selepas video rakaman papan pemuka kenderaan menunjukkan dia memandu dengan cuai sehingga mengakibatkan kemalangan jalan raya.
Menerusi rakaman berdurasi 1 minit 41 saat itu, lori kontena dipandu dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu itu dikatakan dipandu secara berbahaya dan cuba memotong sebuah lori lain sebelum melanggar sebuah motosikal dan terbabas ke lorong kanan jalan.
Ekoran itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya memandang serius video yang tular itu lalu mengesahkan pemandu lori terbabit telah disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
Malah, pada Oktober 2021 yang lalu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat turut menggesa orang ramai agar berkongsi rakaman video termasuk daripada kamera papan pemuka kenderaan yang menunjukkan pemandu kenderaan yang melanggar undang-undang trafik atau menunggang secara berbahaya.
Katanya, rakaman tersebut penting bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu terlibat selain bagi memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya yang lain agar patuh kepada peraturan yang ada.
Haiwan
Sementara itu, dalam kejadian lain di satu kawasan pedalaman di Terengganu pada awal tahun ini, seorang pemuda berusia 40 tahun yang sedang memandu sendirian terkejut apabila keretanya dilanggar seekor tapir yang agak besar dari arah tepi kenderaan.
“Saya rasa menyesal kerana tidak memasang kamera papan pemuka kereta. Apabila perlanggaran melibatkan haiwan, memang sulit untuk dibukti dan dijelaskan kepada sesiapapun mengenai kejadian.
“Akibat kejadian itu, kereta saya remuk di keseluruhan tepi kiri kenderaan,” luah lelaki yang enggan dikenali itu kepada K2.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan kamera papan pemuka kenderaan sebagai ciri keselamatan tambahan, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Datuk Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, ia dilihat sudah menjadi trend dan pilihan oleh pemilik kenderaan di negara ini.
Jelasnya, ramai pemilik kenderaan merasakan pemasangan peralatan itu bukan sekadar sebagai aksesori tambahan, tetapi mempunyai peranan besar sebagai alat bagi merakam sebarang kejadian di atas jalan raya.
Keterangan
Katanya lagi, walaupun Malaysia masih belum menggubal sebarang peraturan atau perundangan berkaitan pemasangannya pada kenderaan, namun penggunaan peralatan itu sudah diterima dan dianggap sah di beberapa negara di dunia antaranya Kanada, United Kingdom, Perancis, Jepun, Thailand dan banyak lagi.
“Kebanyakan negara terbabit mendapat manfaat daripada penggunaan alatan tersebut, antaranya bagi pengurangan tarif insurans kenderaan.
“Pada masa ini, penggunaan kamera papan pemuka di negara ini masih belum diwajibkan pihak kerajaan memandangkan pelbagai faktor perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum dapat dilaksanakan.
“Namun pemasangannya amat digalakkan sebagai satu ciri keselamatan tambahan yang boleh digunakan untuk membekalkan bahan bukti bagi merungkai punca berlaku sesuatu insiden melalui rakaman asli sekiranya berlaku kemalangan jalan raya sama ada melibatkan pemilik ataupun pengguna jalan raya lain,” katanya.
Ini kerana jelas Khairil Anuar, dalam konteks perundangan, Seksyen 3 Akta Keterangan membolehkan rakaman dibuat di mana kenyataan yang dirakam meliputi rakaman visual dan sebagainya boleh digunakan di mahkamah sebagai keterangan utama atau primer oleh pihak berkuasa.
Dalam konteks penguatkuasaan pula katanya, pihak berkuasa juga boleh memantau sepenuhnya isu-isu tular di media sosial berkaitan kesalahan lalu lintas jalan raya atau pun kes-kes jenayah yang melibatkan rakaman kamera papan pemuka kenderaan.
Malah jelasnya, telah banyak tangkapan melibatkan samseng jalan raya yang dibuat oleh pihak berkuasa adalah berpunca daripada video kamera papan pemuka kenderaan yang dikongsikan hasil daripada keprihatinan pengguna jalan raya yang lain.















