KOTA BHARU – Syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, Oda Make bercadang untuk memperluaskan operasinya ke seluruh Semenanjung dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, pihaknya optimis terhadap inisiatif tersebut kerana sambutan yang diterima daripada orang ramai terhadap perkhidmatan yang diperkenalkan pada tahun lalu adalah sangat menggalakkan.
“Selain Kelantan, kami telah mengembangkan operasi ke Ipoh, Perak; Kuala Terengganu, Terengganu dan Cameron Highlands dan Kuantan, Pahang.
“Kami akan terus melebarkan perkhidmatan ke Selangor dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Buat masa ini, Oda Make memiliki kira-kira 1,500 penghantar di negeri-negeri tersebut.
Abdul Rahim memberitahu, perkhidmatan di Selangor itu dilihat mampu memperkukuhkan lagi kedudukan Oda Make sebagai syarikat penghantar makanan jenama tempatan di negara ini.
Katanya, kehadiran Oda Make dalam pasaran memberi banyak pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik memandangkan tawaran cajnya lebih rendah antara 10 hingga 20 peratus daripada perkhidmatan syarikat berjenama utama.

“Saya akui persaingan dengan jenama antarabangsa dalam penyediaan perkhidmatan ini cukup sengit.
“Bagaimanapun, kami akan berusaha memberikan khidmat terbaik kepada pengguna setimpal dengan apa yang mereka bayar,” katanya.
Abdul Rahim berkata, bagi memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik kakitangan Oda Make diberikan latihan cukup berkaitan dengan aspek kebersihan, pengurusan masa, pesanan dan sebagainya.
“Langkah itu bagi memastikan Oda Make menjadi pilihan utama orang ramai pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata, pihaknya sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menjadi sebahagian daripada rakan strategik Oda Make.














