fbpx
Pintu sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah merupakan antara laluan yang digunakan pasangan yang mahu bernikah di Thailand. – GAMBAR HIASAN

VIP bergelar Datuk kemaruk nikah di Siam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Golongan orang kenamaan (VIP) merupakan antara mereka yang dalam senarai menunggu untuk bernikah di Thailand sekiranya negara jiran itu memberi lampu hijau untuk membuka sempadan.

Perkara itu didedahkan seorang ejen nikah Siam yang memaklumkan dia kini tidak menang tangan menjawab panggilan telefon daripada bakal pengantin yang sedang menghitung hari untuk bernikah di negara tersebut.

Dianggarkan, lebih 300 pasangan pengantin dari Lembah Klang sudah tidak sabar me­nunggu sempadan Thailand dibuka bagi membolehkan mereka melangsungkan pernikahan selepas tertangguh ekoran pandemik Covid-19.

Seorang ejen nikah Siam yang mahu dikenali sebagai Wati berkata, kebanyakan mereka yang menempah slot perkahwinan sebelum ini menghubungi ejen masing-masing bagi menge­tahui status dan situasi terkini.

“Saya juga sibuk melayan pertanyaan pelanggan yang bertanyakan tarikh sebenar pembukaan sempadan dan prosedur baharu yang akan dilaksanakan.

Berita berkaitan: Ramai tunggu giliran nikah Siam

“Mereka bersungguh-sungguh bertanyakan hal itu, malah ada yang meminta agar disegerakan kerana sudah lama merancang,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Wati, dia bersama beberapa ejen di bawahnya ­biasanya akan membuat tempahan sebelum membawa masuk pasangan ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Kosmo Ahad! semalam me­laporkan pengumuman kerajaan Thailand untuk membuka pintu sempadan bermula bulan depan bukan sahaja menggembirakan ejen-ejen nikah Siam, malah pasangan yang kemaruk mahu bernikah secara ‘senyap-senyap’.

Ejen nikah Siam di negara ini kini mula sibuk menerima panggilan daripada pasangan kekasih terutama mereka yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.

Mengulas lanjut, Wani memberitahu, kebanyakan pasangan yang ingin bernikah di negara jiran kerana mahu berpoligami, percintaan dihalang keluarga, terlanjur dan masalah lain.

“Saya juga dapat pertanyaan daripada warga asing termasuk dari Thailand untuk menguruskan perkara seperti cerai, rujuk dan tuntutan fasakh,” ujarnya.

Seorang lagi ejen yang mahu dikenali sebagai Yusof berkata, dia yang menjalankan urusan pernikahan di Thailand lebih 30 tahun lalu turut menerima panggilan telefon, namun terpaksa ditolak dengan baik kerana tiada kata putus daripada kedua-dua negara.

“Saya mendapat tempahan daripada kenalan atas kenalan, kebanyakan mereka terutama­nya VIP lebih gemar mencari orang (ejen nikah) yang dikenali berbanding ejen di laman sosial bagi mengelakkan urusan diketahui orang ramai.

“Malah, penduduk Perlis dan Kedah juga ramai bernikah di lima wilayah selatan Thailand dan pernikahan perlu mengikut syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam,” katanya.

Tambah Yusof, dia bersedia membuka semula tempahan perkahwinan sekiranya terdapat pengumuman rasmi mengenai pembukaan sempadan berikutan permintaan tinggi daripada bakal pengantin di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN