PETALING JAYA – Lebih 15,000 pelari dari Malaysia dan 22 negara menyertai IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026 yang kembali dianjurkan bagi edisi kelapan di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) dan Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), menjadikannya antara pengalaman acara larian lebuh raya paling unik di negara ini.
Acara itu dianjurkan bersama IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad dengan New Pantai Expressway Sdn. Bhd. (NPE) serta Besraya (M) Sdn. Bhd., anak syarikat IJM Corporation Berhad.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.
Acara itu menawarkan empat kategori iaitu Maraton Penuh 42.195 kilometer (km), Separuh Maraton 21km, Larian 10km dan Larian 5km yang menghimpunkan atlet elit, pelari rekreasi serta pasukan korporat. Ia turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 2024 sebagai maraton pertama di lebuh raya yang ditutup sepenuhnya dan acara larian terpanjang di atas lebuh raya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata, sepanjang lapan edisi penganjurannya, acara itu berkembang menjadi platform yang menyatukan komuniti melalui sukan larian, selain memperlihatkan bagaimana lebuh raya boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, IJM Allianz Duo Highway Challenge mencerminkan komitmen bersama dalam menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh komuniti serta memastikan pengurusan acara yang bertanggungjawab, selain berharap kerjasama itu dapat diteruskan sehingga edisi ke-10. – KOSMO! ONLINE














