PETALING JAYA – Pengumuman kerajaan Thailand yang akan membuka pintu sempadan dengan Malaysia bermula bulan depan bukan sahaja menggembirakan ejen-ejen nikah Siam, malah pasangan kekasih yang kemaruk ingin bernikah secara ‘senyap’ di negara jiran itu.
Ejen-ejen nikah Siam di negara ini kini mula sibuk menerima panggilan daripada ramai pasangan kekasih terutama mereka yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.
Ramai pasangan dikatakan telah menempah slot pernikahan dan sudah tidak sabar-sabar untuk menunggu giliran bernikah di Thailand sebaik pintu sempadan negara dibuka.
Di Ipoh, Perak, seorang ejen nikah Siam, Rizal Hashim, 48, berkata, ramai pasangan di negeri ini yang tertangguh hasrat untuk bernikah di Thailand sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19 mula menghubungi ejen bagi mendapatkan khidmat membawa mereka ke sana.
Katanya, dia bertindak sebagai penunjuk jalan untuk memudahkan urusan pasangan bernikah di pejabat agama Islam di Thailand.
“Saya hanya membawa pasangan dari negeri ini untuk berurusan dengan pejabat Majlis Agama Islam Songkhla. Selain saya, terdapat lapan lagi kenalan yang turut menawarkan khidmat yang sama seperti di Parit Buntar, Teluk Intan dan Gerik.
“Sehingga kini, saya telah ada 10 pasangan yang tidak sabar-sabar untuk bernikah di Siam yang kebanyakannya adalah lelaki yang ingin berpoligami,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Bagaimanapun, Rizal memberitahu, dia kebiasaannya hanya akan membawa dua atau tiga pasangan pada satu-satu masa bagi memudahkan urusan.
Katanya, pasangan perlu menyediakan kos sebanyak RM3,000 untuk bernikah di Thailand bagi pakej dua hari satu malam.
“Kos ini termasuk upah saya sebanyak RM400, penginapan hotel, pengangkutan, dokumentasi, insurans kenderaan, bayaran pernikahan dan pendaftaran di pejabat konsulat.

PUSAT Majlis Agama Islam Songkhla di Thailand menjadi lokasi ramai pasangan kekasih dari Malaysia melangsungkan pernikahan.
“Ini bukan khidmat ejen pernikahan palsu atau nikah di sempadan, tetapi pernikahan sah di pejabat majlis agama Islam Thailand.
“Ini adalah urusan yang pertama selepas pandemik. Saya telah menghubungi sahabat di Thailand agar urusan di sana berjalan lancar,” katanya.
Di Kota Bharu, Kelantan, seorang ejen nikah menjangkakan jumlah pasangan yang akan berdaftar untuk berkahwin secara sembunyi di Thailand boleh mencecah 50 pasangan sehari selepas pintu sempadan dibuka.
Lelaki berusia 60-an yang hanya mahu dikenali sebagai Rauf berkata, dia kini menerima tempahan pernikahan daripada 20 pasangan meskipun sempadan kedua-dua negara masih belum dibuka.
“Saya jangka nikah Siam akan kembali rancak sama seperti sebelum Covid-19 melanda negara.
“Ada pasangan yang sudah terlanjur sehingga mengandung pun sudah bertanyakan kepada saya prosedur untuk di sana.
“Jadi, dengan pembukaan sempadan negara jiran, mungkin segala urusan akan lebih mudah selepas ini berbanding melalui laluan haram,” katanya.
Menurut Rauf, berdasarkan pemerhatiannya, ramai lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun yang mendaftar untuk bernikah di seberang adalah mereka yang ingin berpoligami.
Katanya, pasangan yang ingin menikah di negara jiran perlu membayar sebanyak RM1,900 hingga RM2,000.
“Apabila sempadan Thailand dibuka, mungkin mereka boleh tinggal lebih lama di sana dan boleh berbulan madu di hotel-hotel di Narathiwat buat sementara waktu,” katanya.
Pada 16 Februari lalu, Kosmo! melaporkan, kerajaan Thailand mengumumkan akan membuka pintu sempadan dengan Malaysia bermula bulan depan bagi merangsang semula sektor ekonomi dan pelancongan.
Thailand merancang untuk melaksanakan pengaturan gelembung perjalanan dengan Malaysia yang mana pelancong yang sudah mendapat vaksinasi boleh tiba di bawah skim kemasukan Test & Go tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.
Namun, mereka masih perlu mengambil dua ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) Covid-19 sebaik tiba di Thailand.
Sepanjang tempoh sempadan kedua-dua negara ditutup, pasangan kekasih yang ingin bernikah di Thailand dibawa masuk melalui pangkalan haram.
Selain itu, terdapat ejen yang sanggup membawa jurunikah atau tok kadi bersama wali dari Thailand masuk ke negara ini.














