BALIK PULAU – Penduduk di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar kecoh sejak beberapa minggu ini dengan mendakwa kehilangan wang angkara makhluk halus dikenali sebagai anak kerak.
Difahamkan, kehilangan duit hanya melibatkan wang kertas RM50 dan RM100 termasuk yang sudah diketip dawai kokot dan disimpan di dalam lipatan sejadah, seluar, helaian al-Quran, laci pakaian dalam serta beg pinggang milik mangsa.
Bagi menguatkan lagi dakwaan itu, penduduk yang juga peniaga nasi lemak, Norita Ismail, 54, berkata, dia tergamam sebaik melihat satu objek hitam menyerupai wayang kulit melayang di bahagian dapur dan pintu belakang rumahnya tiga hari lalu.
Menurutnya, penemuan bayangan objek misteri tersebut kira-kira pukul 3.30 petang itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kehilangan wang hasil perniagaan nasi lemak yang diusahakannya sejak 10 tahun lalu.
“Pada mulanya memang saya tidak percaya yang objek tersebut mempunyai kaitan dengan kehilangan duit titik peluh berniaga termasuk yang disimpan di dalam setiap 10 bekas wang.
“Ketika itu, saya baru sahaja selesai mengira wang hasil perniagaan pada hari itu sebanyak RM1,080 di dalam bilik dan kemudian keluar ke dapur.
“Bagaimanapun, hati mula tergerak untuk mengira sekali lagi wang yang disimpan di dalam beg selepas menjadi tidak senang duduk terkenang bayangan misteri itu.
“Apabila dikira dua hingga tiga kali, wang itu didapati berkurang RM100 dan tinggal RM980 sahaja. Ini adalah kejadian terbaharu yang berlaku Isnin lalu dan tidak termasuk hari-hari lain,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga pembuat kuih, Fazilah Abdullah, 54, pula mendakwa yang dia turut mengalami kehilangan wang simpanan sebanyak RM1,250 termasuk RM100 milik anak menantunya Ahad lepas.
“Saya dari dulu jenis suka menyimpan wang kertas RM1, RM10, RM20, RM50 dan RM100 yang baharu dan masih keras. Saya sedar hilang wang kertas RM50 dan RM100 yang diketip dawai kokot dan dilipat dalam sejadah kecil sebelum disimpan di laci baju.
“Saya berasa hairan misteri kehilangan wang itu kerana hanya wang RM1, RM10 dan RM20 sahaja dilihat masih tersusun elok dan tak hilang. Semua wang ini disimpan di lokasi sama dengan wang milik menantu RM500.
“Memang kami tidak syak siapa-siapa kerana yang tinggal di rumah semasa itu saya dan suami sahaja.
“Keadaan lipatan sejadah juga masih sama dan elok serta tiada kesan seperti dibuka,” katanya.
Ceritanya lagi, dia mengalami trauma sepanjang hari berikutan pertama kali berdepan kehilangan wang dalam jumlah yang banyak dan kejadian itu juga adalah bersiri yang dialaminya ketika mendiami rumah sewa di kawasan berhampiran.
Sebelum ini, Kosmo! pada 17 November lalu melaporkan kes kehilangan wang yang menghantui penduduk di tiga buah kampung di Kubang Kerian, Kota Bharu di Kelantan sejak Februari 2021 akhirnya terjawab dipercayai angkara ada pihak membela makhluk halus yang dikenali sebagai anak kerak.














