fbpx

Akauntan rugi RM14,005 ditipu sindiket kerja sambilan tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUANTAN – Terpedaya dengan pulangan komisen sebanyak RM48.90 menyebabkan seorang akauntan mengalami kerugian sebanyak RM14,005 selepas ditipu sindiket kerja sambilan yang tidak wujud.

Dalam kejadian berkenaan sindiket berkenaan mengumpan mangsa dengan memulangkan wang bersama komisen pertama bagi mempengaruhi mangsa membuat pesanan dan bayaran bagi kerja seterusnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada 7 Februari lalu selepas mangsa melihat iklan kerja sambilan ketika melayari Facebook di rumahnya di Kampung Padang di sini.

“Mangsa telah menghubungi suspek bernama Alvin menyatakan mahu melakukan kerja sambilan melalui dalam talian yang mana melalui pesanan pertama dan kedua, mangsa telah menerima keuntungan RM48.90 atas pesanan barangan sebanyak RM489 yang dimasukkan ke akaun mangsa.

“Mangsa kemudiannya membuat pesanan ketiga tetapi tidak mendapat wang komisen dengan alasan perlu membuat pesanan seterusnya dan mangsa melakukan lagi pesanan demi pesanan tetapi tidak menerima komisen dengan alasan yang sama,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya mangsa telah membuat lima pesanan dan memindahkan wang berjumlah RM14,005 tetapi terus diminta membuat pesanan dan bayaran untuk mendapatkan wang bayaran dan komisen.

Beliau memberitahu mangsa yang kehabisan duit simpanan tidak dapat meneruskan pesanan dan berasa tertipu sebelum tampil membuat laporan polis.

Dalam pada itu katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan bagi mengesan suspek terlibat.

“Berdasarkan siasatan awal, modus operandi kes ini ialah suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan kerja sambilan yang tidak wujud sehingga mangsa mengalami kerugian,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI