PETALING JAYA – Seorang lelaki didakwa mengemis dengan cara menipu kisah sedih dihadapinya bagi mendapatkan wang daripada orang ramai dalam kejadian dipercayai berlaku di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Menerusi hantaran pengguna Thread @Its Hadifiman, rakannya berdepan situasi tersebut apabila dia memberikan wang kepada lelaki itu dan kononnya akan dibayar semula kepadanya.
“Hai korang (kalian), sebenarnya pak cik ni dia bagitahu kawan saya yang dompet dia hilang dekat TBS sebab waktu tu kitorang (kami) dekat TBS nak balik kampung cuti semester.
“Sebelum saya sampai, kawan telefon saya yang pak cik ni minta duit dia RM70, tapi kawan saya bagi RM50 je sebab kasihan dekat pak cik ni hilang dompet. Ditambah lagi nak ambil bini dia baru balik luar negara.
“Jadi kawan saya ni pun ambil keputusan nak bagi dan saya rakam sebagai bukti supaya dia pulangkan balik duit kawan saya sebaik saja dia dah balik Singapura. Tapi tak pulangkan pun, jadi hati-hati,” katanya.
Its Hadifiman turut memuat naik gambar dan video serta tangkap layar mesej WhatsApp kepada lelaki itu untuk membayar semula wang RM50, namun tiada balasan.
Dalam ruangan komen, beberapa individu didakwa mengenali lelaki terbabit dan memaklumkan kisah sedih itu adalah sama diceritakan seperti sebelum ini.
“Uncle (pak cik) ni memang scammer kak, pernah kena waktu sampai TBS. Naik Klia Express dia cerita dengan jalan cerita sama. Dua tahun lepas punya cerita. Bila orang macam ni nak dapat balasan ye,” komen Masrumsup.
“Dia memang scammer bang. Dekat TBS tu jangan percaya dengan orang minta tolong. Antara scammer kat TBS dengan LRT kat situ, salah satu uncle ni. Lepas itu ada lelaki kurus-kurus minta RM10 nak balik Seremban alasan baru keluar Penjara Kajang. Lelaki muda nak pergi Melawati duit tak cukup, kata nanti bayar balik. Dari waktu PKP sampai sekarang scam orang. Saya duduk sekitar kawasan TBS dengan LRT tu. Hari-hari nampak muka-muka scammer ni,” komen Aim Fahd.
“Weh ni zaman saya kolej masa 2020 atau 2021 kot? Kau aktif lagi eh pak cik. Boleh tahu tak nama dia siapa? Kalau nama Jingsen, haa memang betul lah sebab saya ada je nombor dia, tapi malas nak minta duit,” komen Hayr Nena. – KOSMO! ONLINE














