fbpx
ANTARA karya dari Korea Selatan yang mencatat rating tertinggi.

Karya Korea Selatan pukau penonton dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS membikin sensasi global menerusi drama bersiri Squid Game siaran platform penstriman popular Netflix, karyawan seni Korea Selatan nampaknya berjaya mengekalkan rekod cemerlang apabila menghasilkan sebuah lagi naskhah popular iaitu All of Us All Dead.

Biarpun baru sahaja ditayangkan pada 28 Januari lalu, drama arahan Lee JQ dan Kim Nam-su itu berjaya berada di kedudukan kelima kategori drama bersiri bukan bahasa Inggeris paling popular dalam Netflix.

Melihat pada momentum jumlah tontonan iaitu sebanyak 361 juta jam dalam tempoh 10 hari tayangan, drama yang mengangkat kisah zombi tersebut dikatakan bakal mengikuti jejak drama Squid Game yang berada di tangga pertama dan meraih sebanyak 1.65 bilion jam jumlah tontonan.

Menurut maklumat produksi, drama yang dibintangi Park Ji-hu, Yoon Chan-young, Cho Yi-hyun, Lomon, Lee Yoo-mi, Ham Sung-min, Kim Jae-hyuk, Son Sang-yeon, Ha Seung-ri, Lee Eun-saem itu bakal memiliki musim kedua dan ketiga.

Selain drama bersiri, filem dari Korea Selatan juga tidak kurang hebatnya. Kosmo! menyenaraikan karya-karya dari Korea Selatan yang berjaya memukau dunia.

Parasite

Filem Parasite membuat kejutan dan menarik minat khalayak dunia apabila membawa pulang empat anugerah Oscars menerusi kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Filem Antarabangsa Terbaik dalam acara Anugerah Akademi tahun lalu.

Parasite yang ditayangkan pada 2019 merupakan filem Korea Selatan pertama yang berjaya membawa pulang anugerah berprestij tersebut. Filem yang dibikin dengan kos sebanyak AS$15.5 juta (RM64.8 juta) berjaya meraih keuntungan sebanyak AS$258 juta (RM1 bilion).

Train to Busan

Naskhah Train to Busan ditayangkan pada 2016 mencipta rekod apabila menjadi filem Korea Selatan pecah panggung dan paling ramai ditonton.
Filem lakonan aktor popular Gong Yoo dan Ma Dong-seok itu berjaya mengutip sebanyak AS$38.8 juta (RM162 juta) hanya dalam tempoh lima hari tayangan.

Jumlah tersebut tidak termasuk kutipan sebanyak AS$2.2 juta (RM9.2 juta) untuk tayangan di Amerika Syarikat dan Kanada.
Secara keseluruhan, Train to Busan berjaya meraih kutipan sebanyak AS $98.5 juta (RM412.2 juta) di seluruh dunia.

Descendants of the Sun

Drama bersiri lakonan pelakon popular Song Joong-ki dan Song Hye-kyo, Descendants of the Sun yang mula ditayangkan pada April 2016, merupakan antara drama paling popular sepanjang zaman.

Masakan tidak, drama tersebut telah ditonton sebanyak 440 juta kali dalam platform penstriman iQiyi pada 2016. Malah, iQiyi turut membeli hak siaran sebanyak AS$258 juta (RM1.4 juta) untuk setiap episod. Bukan itu sahaja lokasi dan set penggambaran drama berkenaan turut dibaik pulih dan dijaga sebagai lokasi pelancongan popular negara tersebut.

My Love from the Star

Drama fantasi romantik komedi lakonan Kim Soo-hyun dan Jun Ji-hyun, My Love from the Star ditayangkan pada Disember 2013 sehingga Februari 2014. Jalan cerita unik tentang makhluk asing yang menetap di bumi selama 400 tahun dan telah jatuh cinta dengan aktres popular antara tarikan utama drama ini.
Tidak hanya diterima baik di Korea Selatan, drama tersebut turut ditonton sebanyak 14.5 bilion kali di iQiyi sepanjang tayangannya selain telah dieksport ke 20 buah negara.

Squid Game

Naskhah Squid Game pula memecah rekod sebagai drama bersiri paling ramai ditonton dalam laman penstriman Netflix. Drama yang mula ditayangkan pada September 2021 itu berada di carta teratas tontonan di 94 buah negara dan berjaya menarik seramai 142 juta penonton.

Episod kejayaan Squid Game tidak berakhir di situ apabila meraih anugerah pada Golden Globe Awards menerusi O-Yeong-su untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Difahamkan, musim kedua drama berkenaan kini dalam pembikinan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN