PETALING JAYA – Lebih 50 peratus atau kira-kira 11.5 juta individu dewasa negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan ketika ini, sekali gus berisiko menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Lebih mengejutkan, daripada jumlah itu, kira-kira 60 peratus atau 6.9 juta individu dewasa itu melibatkan golongan wanita yang mengalami masalah obesiti
terutama mereka berusia dalam lingkungan umur 30-an hingga 40-an.
Perkara itu didedahkan oleh pakar perundingan, pembedahan dan bariatrik, Dr. Mustafa Mohammad Taher yang kini adalah salah seorang doktor pakar bariatrik terbaik di Asia Tenggara kepada Kosmo! semalam.
Dr. Mustafa berkata, kebanyakan pesakit sama ada lelaki atau wanita yang datang untuk mendapatkan rawatan adalah mereka yang sudah mempunyai penyakit ‘major’ seperti jantung, kencing manis dan juga darah tinggi.
“Kira-kira 65 peratus pesakit yang datang mendapatkan rawatan bariatrik dikesan mempunyai penyakit-penyakit ini.
“Wujud kemungkinan organ dalaman pesakit obesiti sudah rosak akibat penyakit itu dan berisiko tinggi kehilangan nyawa jika mereka melakukan pembedahan bariatrik untuk mengurangkan berat badan,” katanya.

Dr. Mustafa berkata, bariatrik bukan sahaja mampu membantu mengurangkan berat badan, malah merawat pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, masalah tidur, kemandulan, asma, serangan panik, kemurungan, sakit lutut, sakit belakang dan antisosialisme.
Selain itu katanya, bariatrik juga boleh membantu masalah kemandulan dan keguguran berulang yang disebabkan oleh gangguan hormon yang terjadi kepada wanita iaitu Poly Cystic Ovarian Syndrom.
“Pembedahan ini akan menyelaraskan ketidakseimbangan hormon dan kurangkan beban lemak dalam badan,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat pelbagai faktor mempengaruhi peningkatan statistik masalah obesiti.
Pertama katanya, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan makanan serta sangat mudah untuk rakyatnya mendapatkan makanan.
“Restoran kebanyakan beroperasi seawal pukul 6 pagi sehingga pukul 12 tengah malam, malah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada premis beroperasi 24 jam sehari.
“Tabiat pemakanan orang Malaysia yang suka makanan bergoreng, berlemak dan berminyak turut mempengaruhi peningkatan kes obesiti,” ujarnya.
Beliau yang berasal dari Iraq memberitahu, melalui pemerhatian ke atas pesakitnya, kebanyakan mereka yang mempunyai masalah obesiti terutamanya wanita bermula selepas mereka berkahwin dan berlaku perubahan hormon.
Jelasnya, kebanyakan wanita menamatkan zaman bujang sebelum berusia 30 tahun.
“Selepas berkahwin dan mempunyai anak, hormon wanita akan berubah dan badan mereka senang naik (gemuk) jika penjagaan diri diabaikan.
“Tidak seperti waktu mereka bujang, jaga makan dan minum. Sebab itu, kebanyakan wanita usia pertengahan (30 hingga 40 tahun) yang sudah berkahwin mudah obes,” ujarnya.














