Menjadi zuriat kepada seorang Perdana Menteri (PM) bergelar Bapa Pembangunan, sejak kecil, beliau memikul nama yang cukup besar. Maka, signifikanlah What’s in A Name menjadi judul buku autobiografinya yang dilancarkan baru-baru ini. Tan Sri Nazir Tun Razak merupakan anak bongsu PM kedua, Tun Razak Hussein dan adik PM keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Apa ada di sebalik nama? Dalam tradisi Melayu dan Islam, nama anak merupakan doa ibu bapa. Nazir bermaksud pengawas atau pemberi amaran dan buku ini mungkin menepati kedua-duanya sekali,” demikian ulas bekas Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar tentang buku tersebut.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
Menjadi zuriat kepada seorang Perdana Menteri bergelar Bapa Pembangunan, sejak kecil, beliau memikul nama yang besar nian. Maka, memang cocok dan signifikan apabila What’s in A Name menjadi judul buku autobiografinya yang dilancarkan baru-baru ini biarpun patah kata Inggeris itu sebenarnya dipetik daripada karya agung, Romeo & Juliet nukilan William Shakespeare yang menyingkap peranan nama keluarga dalam kehidupan insan.
Tan Sri Nazir Tun Razak yang merupakan anak bongsu Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein; adik Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak; tokoh perbankan terkenal serta pejuang kanser prostat ini membukukan sebanyak mungkin kenangan dan cabaran hidupnya di dalam naskhah 358 halaman itu.
“Apa ada di sebalik nama? Dalam tradisi Melayu dan Islam, nama anak merupakan doa ibu bapa. Nazir bermaksud pengawas atau pemberi amaran dan buku ini mungkin menepati kedua-duanya sekali. Kita patut ambil iktibar,” demikian ulas bekas Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar tentang buku tersebut.
Nazir, 55, diingati dengan kejayaannya yang pernah menerajui Kumpulan CIMB hingga menjadi salah sebuah bank terkemuka di ASEAN.

Lama juga sebenarnya lelaki itu mempertimbangkan untuk menulis autobiografi. Didorong rasa kesal kerana arwah bapanya tidak sempat menulis naratif hidup yang boleh dijadikan rujukan tentang kejayaan dan kegagalan masa lalu, Nazir akhirnya mempunyai keberanian untuk duduk menulis pada Jun 2019 sehinggalah buku itu dilancarkan pada 8 November lalu iaitu lima hari sebelum beliau dikurnia gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa BIllah Shah.
“Buku ini boleh dianggap sebagai memoir saya. Saya menulis peristiwa-peristiwa penting dalam hidup saya disisipi analisis dan imbasan tentang legasi Tun Razak, ekonomi, politik negara, pengalaman membina perniagaan dan kepimpinan. Selain itu, saya juga sampaikan idea-idea saya tentang masa depan negara dan melakarkan langkah-langkah berani yang perlu kita ambil untuk membina Malaysia yang lebih baik.
“Saya tidak sangka, sambutan kepada buku saya begitu baik sehingga cetakan pertama buku habis dijual dalam masa seminggu. Alhamdulillah,” kata beliau kepada K2 menerusi kiriman e-mel.
Berkisar keluarga, kerjaya dan jiwa Malaysia, Nazir pada awalnya mahu menumpukan penulisan mengenai bank CIMB yang pernah diterajuinya, namun apabila ditimbang-timbang, beliau sedar mempunyai pelbagai cerita yang boleh dikongsikan.
Biarpun sempat merasai kasih bapa seketika cuma memandangkan bapanya dijemput Ilahi ketika usianya baru sembilan tahun, Nazir merasakan penghasilan buku itu juga telah menyebabkan dirinya lebih memahami Allahyarham Tun Razak.
“Ya, saya memang hanya sempat bersama dengan bapa saya untuk tempoh singkat. Kerana itu saya tidak punya banyak kenangan bersama beliau.
“Begitupun, untuk menulis buku ini, saya bertemu dan menemu ramah kawan-kawan, keluarga serta mereka yang pernah bekerja bersamanya. Saya dapati banyak yang saya tidak pernah tahu tentang bapa. Hasil penulisan buku ini, saya dapat lebih memahami kehendak, prinsip, nilai serta motivasi beliau untuk berkhidmat demi negara.
“Dengan lebih memahami beliau, saya juga rasa saya lebih memahami diri sendiri,” katanya.

Daripada situ juga, Nazir bagai menyedari beberapa persamaan nilai dan kaedah bapa dengan apa yang beliau amalkan di CIMB.
“Sebagai contoh, saya menyifatkan beliau sebagai seorang team player yang berkeyakinan diri, selesa dikelilingi personaliti yang tegas dan berkebolehan seperti Tun Dr. Ismail, Tun Musa Hitam dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Saya rasa saya telah lakukan perkara sama semasa mengendalikan CIMB,” katanya.
Membawa nama Tun Razak sepanjang hidupnya, jujur Nazir, beliau berbangga kerana membawa satu jenama hebat yang memudahkannya untuk membuka jalan kepada peluang-peluang yang baik, namun tidaklah menjadi ‘batu loncatan’ untuk mendapat apa yang diinginkan.
“Sudah tentu, pada pandangan pertama, orang memandang saya sebagai anak Tun Razak, tetapi ini tidak bermakna ia batu loncatan bagi saya.
“Setelah tamat belajar, saya mula bekerja di CIMB, sebuah bank baharu pada masa itu. Saya bermula dari bawah sebagai seorang pegawai iaitu pekerja No. 69. Saya ceritakan dalam buku yang permohonan saya sebenarnya ditolak selepas temu duga pertama kerana mereka fikir saya tidak boleh bekerja dengan cukup keras untuk berada dalam CIMB. Di mata mereka, anak orang besar tidak boleh kerja kuat,” katanya.
Atas niat mahu menjaga reputasi bapa juga, Nazir mengakui berlaku kerenggangan hubungannya dengan abangnya, Najib dan hal itu turut dikongsikan dalam buku tersebut.
“Pada mulanya saya cuma memberi amaran kepada abang kerana saya percaya bahawa ada penyelewengan berlaku di dalam 1MDB. Malangnya, dia tidak berapa percaya kata-kata saya sehingga saya terpaksa bercakap secara terbuka supaya dia memandang serius teguran saya.
“Apabila berlaku perselisihan antara menyokong ahli keluarga dan jujur kepada jati diri sendiri, kita terpaksa buat pilihan sukar. Saya pun tak pasti pada masa itu sama ada apa yang saya lakukan adalah betul tapi saya telah memilih jalan yang saya percaya benar,” tegasnya.

Bagi Nazir, kejayaan terbesarnya adalah mengemudi CIMB menjadi bank universal dan kemudiannya antara bank terbesar di ASEAN. Ini merangkumi banyak penggabungan bank-bank di Malaysia dan seluruh ASEAN.
“Setiap penggabungan adalah cabaran, terutamanya dalam mengintegrasikan tenaga kerja.
“Menerusi buku ini, saya ceritakan tentang pelbagai cabaran yang perlu saya hadapi yang hampir menjejaskan kerjaya saya beberapa kali kerana keputusan sukar yang harus dibuat,” ujarnya.
Biarpun bukan seorang ahli politik, lelaki ini mengakui dia mempunyai jiwa patriotik dan ini pandangannya tentang Malaysia pada hari ini.
“Pada pendapat saya, negara sudah lama tidak berada di tahap yang baik. Sejak krisis kewangan Asia (AFC), pertumbuhan ekonomi negara agak lembab, kadar pelaburan langsung asing (FDI) agak rendah, jurang integrasi sosial antara kaum meningkat dan korupsi semakin meluas. Kita lihat situasi politik negara tidak stabil di mana rakyat mengundi sekali tetapi lihat penukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam masa singkat.
“Bila saya fikir tentang jalan ke hadapan, saya ingat kita perlu lihat perkembangan konsep demokrasi berperundingan di banyak negara lain.
Di negara-negara tersebut platform-platform perundingan langsung melibatkan rakyat telah ditubuhkan dan melibatkan golongan intelek, tokoh-tokoh, ahli-ahli profesional dan orang biasa.
Saya juga percaya bahawa hari ini masyarakat semakin sedar bahawa sukar untuk mengharapkan ahli politik dan wakil rakyat untuk mengubah sistem secara ketara kerana mereka terpaksa fikir kepentingan parti dan diri sendiri dari segi pilihan raya.
“Kita juga patut adakan satu perhimpunan rakyat untuk membuat pembaharuan negara secara menyeluruh. Justeru saya telah mencadangkan sebuah platform perundingan langsung yang dinamakan Perhimpunan Rakyat untuk Malaysia yang Lebih Baik (Perhimpunan Rakyat).
“Baru-baru ini, satu warkah telah dikirimkan kepada Agong untuk mencadangkan penubuhan Perhimpunan Rakyat. Ia disokong 55 orang penandatangan terdiri daripada sekumpulan warga Malaysia dari pelbagai latar belakang, kaum dan pandangan. Mereka bersatu bersuara demi kepentingan nasional,” katanya.
Dikesan menghidap kanser prostat pada tahun 2018, Nazir merupakan seorang survivor kanser yang berjaya sembuh daripada penyakit tersebut.
“Saya telah secara terbuka berkongsi pengalaman saya melalui kempen #onlymencan untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser prostat, selain menyumbang kepada usaha mengumpul dana untuk kempen tersebut.
“Kesedaran tentang kanser itu penting kerana orang malu bercakap mengenainya. Menjadi kekangan budaya, terutamanya kalangan orang Melayu untuk bercakap secara terbuka mengenai apa saja berkaitan fungsi seksual jasmani. Ramai juga cuba mengelak berjumpa doktor meskipun sudah bergejala.
“Ramai lelaki akan mendapat kanser prostat. Tetapi ia adalah kanser yang paling mudah dirawat, Insya-Allah, jika dikesan lebih awal,” tuturnya.
Buku What’s in A Name terbitan Whitefox yang berharga RM89.95 itu boleh didapati di kedai-kedai buku.














