Pemegang rekod 100m kebangsaan itu perlu atasi trauma hamstring
PEMEGANG rekod 100 meter (m) kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan ada potensi untuk muncul sebagai pelari pecut pertama negara mencatat masa bawah 10 saat (s) jika dia mampu mengembalikan prestasi terbaiknya seperti empat tahun lalu.
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller menyifatkan, Khairul, 22, perlu mengatasi perasaan trauma akibat kecederaan hamstring yang menghantui dirinya sejak menjuarai 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Miller, 55, mengakui, beliau akan cuba mengembalikan keyakinan dalam diri Khairul supaya bekas raja pecut Asia Tenggara itu mampu merekodkan semula catatan masa 10.18s apabila dia mencapai tahap kecergasan maksimum nanti.
“Khairul boleh berlari dengan pantas walaupun baru bangun daripada tidur. Ini membuktikan dia adalah seorang pelari yang dilahirkan dengan bakat semula jadi.
“Walaupun dia boleh berlari pantas tetapi tidak semestinya dia cergas. Bukan mudah untuk mengatasi perasaan trauma kerana mungkin takut cedera lagi kalau dia beri larian terbaik dalam latihan atau pertandingan.
“Kita beri masa dan cuba tingkatkan keyakinan dia kerana Khairul ada potensi untuk catat masa bawah 10s. Ia tidak mustahil,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas sesi latihan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
Khairul pernah menggegar arena olahraga Asia Tenggara apabila memahat rekod baru 100m kebangsaan dengan masa 10.18s pada Sukan Malaysia 2016.
Bagaimanapun, bekas raja pecut remaja Asia itu bergelut untuk mencapai semula tahap terbaiknya sejak dihimpit beberapa siri masalah hamstring dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.