KULAI – Sebuah kereta jenis Nissan Almera ditemui terjunam ke dalam sungai di Kampung Sri Maju, Senai di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.19 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba di lokasi pada pukul 11.31 pagi dan mendapati benar terdapat sebuah kereta berada di dalam sungai.
“Pihak bomba menerima maklumat daripada polis bagi memastikan sama ada terdapat mangsa di dalam kenderaan tersebut atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dua anggota bomba kemudian turun ke dalam sungai dengan menggunakan peralatan perlindungan diri (PFD) serta tali penyelamat bagi menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa berada di dalam kereta tersebut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.13 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














