SEPERTI tanpa sedar, rupa-rupanya sudah enam tahun pelakon Oktovia Manrose bergelumang dalam industri seni tanah air.
Jika sebelum ini, corak kariernya diuruskan sendiri tanpa syarikat pengurusan, namun memasuki suku akhir tahun 2020, si wanita genit itu sudah boleh menarik nafas lega apabila rutin pekerjaannya kini sudah boleh disandarkan ke tembok kukuh.
Bermula sebagai sahabat ternyata keakrabannya bersama pelakon Nadiyah Shahab ternyata membuka ruang baharu dalam hidup Oktovia.
Kini graf kariernya beroleh jaminan apabila dilamar sebagai artis naungan syarikat pengurusan Absolut Talent & Management yang merupakan milik bersama Nadiyah dan suaminya, Ben Ali.

Bergelar artis naungan Absolut sekitar awal Ogos lalu benar-benar mengubah putaran kariernya. Oktovia mengakui kini kehidupannya lebih tersusun.
“Sebelum ini saya memang uruskan sendiri jadual kerja, jadi secara jujurnya saya akui memang susah sebab ada banyak perkara yang perlu diuruskan seorang diri.
“Selepas bersama Absolut, saya dapati perjalanan karier lancar dan semakin berkembang. Setakat ini sahaja, saya sudah dapat tiga tawaran berlakon.Alhamdulillah,” ujarnya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian bersama syarikat berkenaan di Bangsar baru-baru ini.
Ujar pelakon berusia 29 tahun itu lagi, satu hal yang mendorong dirinya bersetuju untuk bergelar artis naungan sesebuah syarikat pengurusan ialah sikapnya yang boros dalam soal menguruskan kewangan.
Kata Oktovia, sepanjang bergelar pelakon dia tidak pernah memiliki sebarang aset termasuk sebuah kereta.
“Sejujurnya saya seorang yang boros berbelanja. Saya tidak pandai menguruskan kewangan. Jadi saya perlukan pihak lain untuk membantu saya dalam hal tersebut.
“Dahulu duit sentiasa masuk sebab rezeki tidak pernah surut, keadaan tersebut menjadikan saya selesa dan seronok berbelanja.
“Sampaikan saya tidak pernah membeli sebarang aset untuk diri sendiri waima sebuah kereta.
“Sebenarnya, saya tidak beli kereta kerana ada kisah trauma. Insya-Allah, mungkin selepas ini impian saya untuk membeli aset akan tercapai,” katanya yang mengakui masih belum terlambat untuk memulakan pembelian aset ketika usianya mencecah 30 tahun.
Membawa perbualan ke ruang peribadi, pelakon drama Dendam Aurora itu kelihatan tenang saat disua persoalan berhubung status dirinya bagi menjawab segala teka-teki peminat.
Tanpa banyak berdolak-dalih, Oktovia mengakui pernah berkahwin, namun telah bercerai. Kini dia sedang membesarkan sendiri seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Zafariel, 8.

Ibu tunggal
Tidak mahu terlalu terheret dengan dengan kisah lampau, kakak kepada pelakon Aprena Manrose itu mahu kekal dalam zon selesanya. Dia tidak mahu terlalu terbuka dan enggan memperincikan hal peribadi kepada umum.
“Disebabkan perkahwinan lalu yang pernah gagal, saya jadi selesa untuk duduk dalam zon ini dengan tidak terlalu terbuka berbicara mengenainya.
“Sumpah, saya tiada masalah dengan status janda. Sedikit pun saya tidak pernah takut dengan gelaran itu. Janda pun meletup juga. Bagi saya ini semua adalah lumrah kehidupan yang perlu dijalani,” jelasnya optimis .
Mendepani tempoh lapan tahun sebagai ibu tunggal semestinya bukan perkara mudah untuk ditelan Oktovia.
Apatah lagi ketika situasi tersebut menghentam mahligai perkahwinannya, dia masih terlalu muda untuk menghadam sedalam-dalamnya makna sebenar kehidupan.
Sungguh, Oktovia seorang yang masih bertuah. Di matanya, berdiri seorang lelaki bernama bapa yang selalu menjadi kekuatan dan tempatnya mendapatkan dukungan.
“Kekuatan yang saya ada datangnya daripada ayah. Meskipun jarang bertemu tetapi dia tidak pernah marah atau menilai kehidupan anak-anak.
“Ayah juga selalu percaya, suatu hari nanti saya akan jadi individu yang jauh lebih baik,” jelas Oktovia yang merupakan anak Raja Dangdut Malaysia Iwan Syahman.
Tambah Oktovia, kehadiran anak juga menjadi pembakar semangat berdepan segala hambatan yang mendesak nalurinya.
“Anak juga sumber kekuatan saya. Sebab ada anak saya boleh mempersetankan kisah silam yang tidak mahu dikenang lagi,” katanya yang tidak pernah berhubung dengan bekas suami secara peribadi sejak bercerai.
Sejak dahulu, segala hal berkaitan anak yang memerlukan perbincangan bersama bekas suami dibuat melalui bekas ibu mentuanya.

Tutup pintu
Akui Oktovia, bernikah seawal usia 20 tahun sememangnya satu cabaran besar buat dirinya dan bekas suami. Perkahwinannya dengan Mohd. Izat Abdul Rahman pada tahun 2011 hanya bertahan selama dua tahun sebelum mereka memilih jalan berpisah pada 2013.
Selepas ikatan terlerai, Oktovia berdepan kesukaran untuk membuka ruang hatinya dengan kehadiran lelaki baharu. Entah trauma atau serik, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Setiap kali mahu membawa sesebuah perhubungan ke peringkat lebih serius, saya rasa tidak boleh.
“Bagi saya, selagi lelaki itu tidak benar-benar menunjukkan keseriusannya, saya hanya anggap mereka sebagai kawan.
“Sikap saya yang sukar untuk jatuh suka kepada seseorang juga menambahkan kesukaran bertemu pasangan.
“Mungkin belum masanya lagi untuk saya bertemu dengan lelaki yang sesuai,” ujarnya yang sebelum ini pernah berkawan dengan dua orang lelaki tetapi berakhir dengan perpisahan.
Ditebak dengan pertanyaan, adakah kegagalan perkahwinan terdahulu meninggalkan rasa serik untuk dirinya menjalin hubungan serius dengan lelaki, Oktovia pantas menafikan.
Tegasnya, tiada istilah serik. Namun kehadiran ramai orang tersayang di sekeliling adakala membuatkan dia terlupa perihal cinta.
“Saya sunyi tetapi keluarga, rakan-rakan dan anak membuatkan saya tidak terlalu terfikir soal cinta.
“Cuma dalam doa, saya tetap bermohon moga dipertemukan dengan jodoh yang baik. Kalau sudah jumpa yang baik, saya tidak mahu tunggu lama dan kahwin terus,” hambur Oktovia berserta tawa seraya menutup perbualan.
















