PADA bulan April lalu Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) ada melancarkan SUV kompak Kona varian Standard dan Active yang dipertingkat dengan menampilkan versi lebih bergaya serta pelbagai peningkatan reka bentuk dan ciri termaju.
Di negara ini, HSDM menawarkan tujuh varian daripada model Kona termasuk tiga varian kereta elektrik.
Kona yang dinaik taraf dilengkapi dengan enjin Smartstream G2.0 Atkinson dengan kapasiti 1,999cc baharu. Enjin petrol empat silinder Smartstream G2.0 Atkinson telah dipadankan dengan transmisi Smartstream CVT lapan kelajuan.
Gabungan itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 149PS pada 6,200rpm dan tork maksimum 180Nm pada 4,500 rpm.
Semasa penulis melakukan pandu uji varian 2.0 Active baru-baru ini, enjin petrol Smartstream jelas menawarkan prestasi dinamik, lalu secara tidak langsung memberikan pengalaman pemanduan tersendiri.
Pemanduan lancar dan selesa membuatkan penulis seronok untuk memandu kenderaan crossover itu yang bersaing dengan Proton X50.
Untuk pengetahuan anda, Kona yang dipertingkatkan ini 40mm lebih panjang daripada model sebelumnya, perubahan itu memberikan rupa yang lebih sedap mata memandang di samping melengkapkan pendirian visualnya yang luas dan kukuh.

Penulis difahamkan, Kona telah menjadi ikon dalam segmennya kerana reka bentuk yang berani, progresif dan menzahirkan personaliti yang mencabar.
Pihak Hyundai juga lebih berkeyakinan berbanding sebelum ini berikutan kejayaan model Hyundai Kona di Malaysia walaupun persaingan sengit dalam segmen ini.
Reka bentuk Kona sangat unik. Cuba kita lihat bahagian hadapan dan belakang kereta yang direka bentuk semula ini membuatkan Kona memiliki rupa yang anggun dan canggih sambil mengekalkan gaya signatur.
Model ini disasarkan kepada mereka yang ingin kelihatan menonjol dengan rekaan yang unik, tetapi cantik dan mantap sekali gus sesuai dimiliki pemilik yang menjalani gaya hidup aktif.
Penampilan tersendiri menjadikannya menonjol daripada model lain dalam kelasnya. Ia adalah kereta yang tangkas dan bergaya yang boleh membawa anda ke mana-mana, sama ada untuk bersiar-siar atau hanya untuk memandu di bandar.
Reka bentuk bahagian hadapan Kona baharu itu menyerlah dengan panel salutan pelindung yang menarik perhatian dan diserlahkan oleh lampu nyalaan siang LED nipis (DRL).
Jeriji dengan reka bentuk baharu melengkapkan bentuk bonet yang melengkung, manakala bampar utama bersambung dengan lancar ke pelapisan gerbang roda sekali gus membentuk rupa unik dan teguh berbeza dengan badan utama.
Lubang pada bampar bawahnya merangkumi saluran masuk udara bawah dan secara visual melengkapkan bentuk gril atas. Disepadukan ke sudut bampar adalah salur masuk aerodinamik berorientasikan menegak yang meningkatkan aliran udara.

Di bahagian belakang pula, lampu belakang baharu menampilkan grafik yang diregangkan secara mendatar.
Ini mencerminkan identiti unik reka bentuk lampu. Bampar belakang baharu yang mengikut konsep perisai pelindung bahagian hadapan dan sisi turut menggunakan bahan kontras.
Selain itu, model ini hadir dengan reka bentuk rim sukan bersaiz 18 inci dengan tayar berukuran 235/45 yang diperkemas.
Masuk ke ruang kabin, perasaan yang dirasai ialah ‘suci’ sebab tempat duduknya berwarna light beige. Warna ini nampak mahal dan membuat ruang jadi luas tetapi bimbang cepat kotor. Apapun itu bukan masalah besar sebab HSDM menawarkan tiga pilihan jenis material dan warna untuk pelanggan.
Bahagian dalaman yang direka bentuk semula itu menunjukkan rupa yang lebih mewah dan progresif berbanding versi dahulunya.
Kawasan konsol baharu diasingkan daripada panel instrumen untuk menekankan reka letak yang mendatar. Papan pemuka pula kelihatan luas dan lapang untuk lebih ‘menenangkan’ mata.
Brek parkir elektrik dengan fungsi pegang automatik ditambah sebagai ciri kemudahan baharu sebagai tindak balas kepada permintaan pelanggan.
Selain itu, Kona baharu kini turut memiliki fungsi nyalaan enjin dari jauh dengan menggunakan kekunci pintar. Ini menarik bukan?

Antara aksesori baharu pada model ini seperti kluster digital 10.25 inci yang hanya tersedia untuk varian Kona Active, sebagai tambahan kepada skrin lapan inci dengan tawaran sambungan Bluetooth.
Selain itu, Android Auto tanpa wayar dan Apple CarPlay menjadi kemudahan standard untuk varian itu yang turut dilengkapi Waze dan Google Map untuk kemudahan navigasi.
Kona Active dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dan bantuan pemandu antaranya suite keselamatan yang komprehensif seperti Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA) dan Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Amaran Keluar Selamat (SEW) yang mengesan kenderaan dari arah belakang sebelum memaparkan amaran visual dan audio untuk mencegah penumpang keluar dari kenderaan.
Peningkatan keselamatan lain termasuk Bantuan Menjaga Lorong (LKA), Bantuan Mengikuti Lorong (LFA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dengan Makluman Berlepas Kenderaan Utama, Makluman Penghuni Belakang (ROA).
Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan (FCA) juga telah dinaik taraf dengan pengesanan pejalan kaki dan kenderaan.
HSDM menawarkan waranti lima tahun atau 300,000 kilometer (km) atau mana-mana yang tiba dulu. Terdapat juga perkhidmatan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 50,000km atau mana-mana tiba dulu.
SUV Kona 2.0 Active dijual pada harga RM136,888.
















