PETALING JAYA – Tiada siapa menyangka dalam kehidupan serba moden ini, masih ada wanita yang terpaksa menggunakan plastik, kain lama dan kotak sebagai alas untuk menggantikan tuala wanita ketika mereka datang bulan.
Realiti itu terpaksa dilalui oleh anak-anak gadis dan wanita berusia di negara ini khususnya mereka yang mendiami kawasan pedalaman dan pulau selain daripada golongan miskin tegar serta kumpulan B40.
Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan wanita miskin yang yang terpaksa memakai seluar berwarna hitam, selain bersusah payah mencari kotak bagi mengelak aliran haid.
Di Malaysia sahaja, dianggarkan satu hingga dua juta individu mempunyai masalah untuk membeli tuala wanita akibat kemiskinan.
Pengerusi Peduli Merah, Nursyuhaidah Abdul Razak, 29, mendedahkan, perkara pokok di sebalik isu kemiskinan haid ini adalah berkisar tentang kesukaran hidup rakyat sehingga terpaksa mengetepikan aspek penjagaan diri.
“Kumpulan ini merasakan wang yang ada seharusnya digunakan untuk membeli keperluan asas yang lebih penting seperti makanan, sewa rumah dan keperluan lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah beliau, pengalaman yang dikongsikan oleh rakan jalanan dan gelandangan wanita dalam menguruskan haid sebelum ini merupakan satu pengalaman yang cukup menyayat hati.
“Golongan itu tidak mempunyai privasi serta peluang untuk mencuci aliran darah haid serta ketiadaan akses di tempat awam untuk mengendalikan haid. Malah, ada juga yang menggunakan surat khabar dan plastik sebagai pengganti, namun cara itu tidak bersih.
“Kebanyakan wanita dan remaja perempuan ini turut menggunakan kaedah tradisional seperti kain biasa atau kain lampin yang dicuci berulang kali ketika datang bulan.
“Mereka akan guna kain tersebut kemudian cuci bersih, jemur sehingga kering dan gunakan semula,” katanya.
Mengulas lanjut, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Pravin Peraba berkata, kaedah yang digunakan oleh golongan ini adalah sangat tidak bersih dan membahayakan kesihatan.

“Berlaku peningkatan jangkitan kuman pada faraj sebanyak 20 sehingga 25 peratus dan ia dapat dilihat dengan ketara apabila ramai yang datang ke hospital-hospital kerajaan adalah daripada golongan B40.
“Hal ini jelas menunjukkan masalah kemiskinan haid adalah satu isu yang tidak boleh dipandang remeh. Pad dicipta secara spesifik untuk menyerap aliran darah haid wanita secara bersih.
“Barangan lain seperti kain, surat khabar dan plastik tidak akan mampu menyerap aliran darah dengan sempurna,” katanya.
Jelasnya, walaupun barangan itu diletakkan dalam satu lapisan tebal, aliran darah akan masih bertakung sehingga boleh menyebabkan bakteria masuk semula ke dalam sistem reproduktif wanita dan saluran air kencing sehingga mencetuskan jangkitan kuman.
Bagi menyelesaikan isu itu, kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2022 lalu telah mengumumkan peruntukan terhadap 130,000 remaja perempuan untuk menerima bantuan kit asas kebersihan diri seperti tuala wanita secara percuma setiap bulan.
Menyambut baik inisiatif kerajaan, salah seorang pengasas Persatuan MyCorps Alumni bagi sukarelawan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Fitriyati Bakri, 26, berkata, masalah kemiskinan haid ini terdiri daripada empat elemen penting yang perlu dijalankan kajian lebih mendalam oleh kerajaan.
“Elemen seperti pendidikan, tiada keupayaan untuk akses produk kebersihan, fasiliti air bersih dan privasi kerana hal ini dianggap sebagai satu perkara kotor untuk dibicarakan, namun perlu diambil kira bagi mengatasi masalah kemiskinan haid ini,” katanya.














