fbpx
SETIAP wanita perlu menguruskan haid dengan sebaiknya untuk mengelak jangkitan kuman.–GAMBAR HIASAN

Sedih, guna sabut kelapa ganti tuala wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kemiskinan haid bukanlah sekadar isu tentang kemampuan kewangan untuk membeli dan mendapatkan produk sanitari semata-mata.

Sebaliknya turut berkait dengan aspek keupayaan mendapatkan fasiliti bersih, pendidikan haid dan privasi menguruskan haid secara bermaruah.

Itu yang berlaku kepada sebahagian wanita di negara ini yang ramai tidak tahu dan enggan mengambil tahu berkaitan fenomena berkenaan yang mana seseorang wanita itu menghadapi kesukaran mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita kerana kemiskinan atau beban kewangan.

Ada yang menggunakan sabut kelapa yang diletakkan di dalam sarung kaki untuk dijadikan tuala wanita, selain menggunakan kertas-kertas terpakai sebagai pengganti kepada tuala wanita.
———————————————————————————————————————————————————–
SEPERTI anak muda lain, sebaik tamat pengajian, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Afaf itu telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Namun begitu, kehidupan di ibu kota bukanlah sesuatu yang menyenangkan berikutan kos sara hidup yang tinggi, tambahan pula susah untuk dirinya mendapat pekerjaan yang stabil.

“Itulah yang dirasai oleh saya apabila berhadapan kesukaran termasuk untuk membeli keperluan diri iaitu tuala wanita.

“Pada ketika itu saya baru berhenti kerja dan berdepan masalah kewangan. Saya terpaksa catu makanan dan hanya makan sekali sehari bagi membolehkan saya membeli tuala wanita dengan duit yang ada,” katanya kepada K2.

Tambahnya, bagi sesetengah orang perkara itu mungkin suatu yang agak janggal tetapi secara realiti dia pernah berdepan situasi ‘kemiskinan haid’.

Kemiskinan haid adalah situasi di mana seseorang wanita itu menghadapi kesukaran mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita kerana kemiskinan atau beban kewangan.

Tambah menyukarkan, Afaf berkata, dia terpaksa menggunakan tuala wanita yang banyak kerana berdepan masalah hormon yang menyebabkan darah keluar dengan banyak.

TUALA wanita menjadi satu keperluan untuk para wanita dalam menguruskan haid masing-masing.–GAMBAR HIASAN

“Saya perlu membeli tuala wanita yang lebih mahal disebabkan masalah ini. Dalam sehari saya perlu menukarnya sebanyak tiga atau empat kali.

“Selain itu, tempoh datang bulan saya juga agak lama iaitu sekitar 10 hari,” ujarnya.

Isu kemiskinan haid di negara ini bukanlah sesuatu yang baharu dan memang ada sebilangan wanita yang berdepan situasi sedemikian.

Pensyarah Kanan Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Sh. Fatimah Al Zahrah Syed Hussein berkata, kemiskinan haid bukan hanya melibatkan aspek kemampuan untuk membeli dan mendapatkan produk sanitari semata-mata.

Menurutnya, kemiskinan haid ini lebih kompleks dengan turut melibatkan keupayaan seorang wanita atau kanak-kanak perempuan menguruskan haid dalam keadaan sihat dan selamat.

“Terdapat empat elemen asas yang perlu ditangani dalam menyelesaikan isu kemiskinan haid ini. Pertama, ia berkaitan akses untuk mendapatkan produk tuala wanita. Kedua adalah tentang fasiliti yang bersih untuk mereka menguruskan haid.

PEDULIMERAH turun ke lapangan menyampaikan barangan keperluan termasuk tuala wanita untuk mereka yang tinggal di pedalaman.

“Ketiga adalah berkaitan pendidikan tentang haid di mana adakah mereka faham apa itu haid. Terakhir adalah berkaitan privasi untuk menguruskan haid dalam keadaan bermaruah.

“Jika ada kekurangan dalam elemen-elemen ini untuk menguruskan haid dengan baik kita memanggilnya sebagai kemiskinan haid,” jelasnya.

Tambahnya, jika hal ini tidak diuruskan dengan baik, ia akan memberikan kesan jangka panjang kepada kesihatan. Jangkitan kuman boleh berlaku sekiranya kebersihan sewaktu haid tidak diuruskan dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, katanya, masalah ini lazimnya berlaku kepada mereka yang berada dalam kemiskinan ekonomi.

Selain itu, mereka yang tidak diajar untuk menguruskan haid dengan baik juga mempunyai kemungkinan untuk berdepan masalah ini.

Sh. Fatimah yang juga penasihat gerakan Pedulimerah yang cakna tentang isu kemiskinan haid menerangkan, wanita Malaysia sendiri memang tidak terlepas daripada masalah kemiskinan haid.

Menurutnya, melalui kajian yang dilakukannya dan data-data yang diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NG0) yang turun ke lapangan mendapati kemiskinan haid berlaku di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Di kawasan ini, golongan wanita berhadapan dengan keempat-empat elemen kemiskinan haid. Ada kanak-kanak yang berusia 10 tahun diberhentikan sekolah oleh ibu bapanya apabila dia datang haid.

“Selain itu, kita juga menerima maklumat bahawa ada mereka di luar bandar yang tidak mempunyai akses untuk mendapatkan tuala wanita kerana faktor kemiskinan dan membiarkan darah itu mengalir begitu saja. Ada juga yang menggunakan sabut kelapa yang diletakkan di dalam sarung kaki untuk dijadikan tuala wanita,” jelasnya.

Tambahnya, dalam masa yang sama mereka di pedalaman juga tidak mempunyai air yang bersih dan tandas yang baik untuk menguruskan haid dengan baik.

Dalam pada itu, Fatimah juga menjelaskan, masalah kemiskinan haid ini turut berlaku di kawasan bandar.

Wanita gelandangan sering berhadapan dengan masalah ini dan mereka tidak mempunyai akses untuk mendapatkan tuala wanita.


BEKALAN air yang bersih juga perlu untuk memastikan urusan sanitari dapat diuruskan dengan sebaiknya.–GAMBAR HIASAN

“Kami menerima laporan bahawa wanita gelandangan hanya menggunakan kertas-kertas terpakai sebagai pengganti kepada tuala wanita.

“Selain itu, mereka juga berhadapan elemen-elemen lain yang membolehkan mereka berada dalam situasi kemiskinan haid,” terangnya.

Sh. Fatimah menambah, keluarga yang berpendapatan rendah yang tinggal di bandar dan mempunyai anak yang banyak turut tidak terlepas daripada situasi sedemikian.

Berdasarkan kajian yang dilakukannya kepada remaja yang tinggal di Kuala Lumpur, mereka menyatakan bahawa tuala wanita ada tetapi tidak mencukupi.

“Kebanyakan remaja ini masih di bawah tanggungjawab ibu bapa. Ketika kajian dilakukan mereka menyatakan setiap bulan, ibu akan membeli satu pek tuala wanita yang besar dan kemudiannya akan dikongsi bersama adik-beradik lain.

“Mereka juga perlu mengehadkan penggunaannya bagi memastikan adik- beradik lain turut boleh menggunakannya.
Ada juga yang terpaksa ponteng sekolah sewaktu datang haid kerana masalah ini,” dedahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pedulimerah, Nursyuhaidah A. Razak berkata, Pedulimerah memberi fokus untuk memberikan kesedaran tentang isu kemiskinan haid di Malaysia.

Menurutnya, mereka juga telah membentuk satu jawatankuasa untuk melakukan kajian berkaitan isu-isu kemiskinan haid.

MEREKA yang tinggal di pedalaman antara kumpulan yang berhadapan dengan masalah kemiskinan haid.

“Tujuan Pedulimerah adalah untuk membentuk gabungan gerak kerja jangka masa panjang bagi menyampaikan maklumat yang selaras dan tepat mengenai kemiskinan haid.

“Selain itu, fokus utama kami juga untuk menyediakan kotak khas yang menyediakan tuala wanita di tempat awam untuk keperluan wanita yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya, mereka juga berhasrat untuk bergerak bersama dengan NGO lain yang mempunyai tujuan sama berkaitan isu kemiskinan haid ini.

Katanya lagi, Pedulimerah turut membangunkan sebuah laman web khas berkaitan isu kemiskinan haid.
Di laman web itu, pembaca boleh mendapatkan maklumat dan berkongsi pengalaman berkaitan isu tersebut.

“Seterusnya kami juga mahu menjadikan Pedulimerah sebagai satu tempat rujukan orang awam tentang isu kemiskinan haid,” ujar Nursyuhaidah.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN