KADANG-KADANG ada perkara yang boleh dibawa berbincang dengan isteri dan dapat mencapai kata sepakat seperti diharapkan.
Cuma, jangan pernah cuba bergurau ada membuat provokasi di depan isteri untuk menambah ‘cawangan’ walau apapun alasannya, akibatnya bakal tercetus perang besar.
Itu yang berlaku dalam kisah rumah tangga dalam kolum Dari Mahkamah Syariah minggu ini apabila seorang lelaki melakukan gurauan atau provokasi ke atas isterinya untuk berkahwin seorang lagi gara-gara bengang usahanya untuk memujuk isteri menambah cahaya mata di pandang sepi wanita terbabit.
Akibatnya, isterinya melenting bagaikan dirasuk ‘jembalang tanah’ dan terus menuntut diceraikan kerana berasakan suaminya sudah tidak sayang kepadanya.
————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————
BAHTERA pelayaran cinta antara Khairul dan Ainul (bukan nama sebenar) mula berputik ketika sama-sama menuntut di sebuah universiti di Shah Alam, Selangor.
Selepas dua tahun menjalin cinta dan menamatkan pengajian, pasangan merpati dua sejoli itu mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Namun, pada peringkat awal perkahwinan, pasangan tersebut mempunyai perbezaan pendapat dalam aspek perancangan keluarga.
Ini disebabkan permintaan Ainul yang enggan memiliki anak terlalu awal sedangkan Khairul sangat mendambakan seorang cahaya mata yang mampu menjadi penyeri rumah tangga.
Alasan Ainul, dia ingin menikmati hidup berdua serta pergi bercuti ke luar negara bersama Khairul terlebih dahulu sebelum memiliki zuriat.
“Saya menurut sahaja kemahuannya memandangkan kami baru bekerja ketika itu dan kewangan masih belum stabil,” ujar Khairul ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Memasuki tahun kedua, Khairul berjaya memujuk Ainul untuk mempunyai cahaya mata selepas berjanji membelikan wanita itu sebuah kereta baharu.
Akhirnya pasangan tersebut dikurniakan seorang bayi perempuan yang comel.
Malangnya, Ainul mengalami sedikit komplikasi ketika melahirkan bayi tersebut.
Disebabkan itu, Ainul memaklumkan kepada Khairul bahawa dia tidak mahu melahirkan anak lagi dan cukuplah memiliki seorang puteri sebagai penyeri hidup mereka.
“Ketika melahirkan anak pertama, isteri saya berdepan masalah hilang terlalu banyak darah hingga perlu ditambah beberapa beg darah.
“Sebelum itu, ketika mengandung pun dia ada mengalami alahan teruk. Sebab itulah, dia tidak mahu lagi menambah anak,” ujarnya yang merupakan seorang guru.
Selepas empat tahun, Khairul mula berasa perlu mendapatkan seorang lagi cahaya mata bagi memeriahkan suasana hubungan mereka.
Malangnya, permintaan tersebut ditolak oleh Ainul disebabkan trauma dengan kejadian silam ketika melahirkan bayi pertama, selain ingin mengekalkan bentuk badan.
Sememangnya Ainul seorang wanita yang mementingkan bentuk badan.
Ketika melahirkan bayi pertama, dia mengalami peningkatan berat badan sebanyak 15 kilogram.
Selepas setahun, dia akhirnya berjaya mengembalikan bentuk tubuhnya seperti ‘anak dara’ selepas menjalani diet ketat dan bersenam.
“Kalau boleh, saya memang berhajat menambah anak.
“Kalau dapat seorang anak lelaki, rumah tangga kami lebih berseri dan seronok.
“Tetapi ia ditolak oleh Ainul meskipun dipujuk beberapa kali. Dia tidak mahu lagi merasai kesakitan ketika bersalin,” terangnya.
Selama hampir setahun Khairul cuba memujuk. Khairul tetap ingin menambah bilangan anak dengan mendapatkan seorang cahaya mata lelaki.

Setiap kali Khairul memujuk Ainul, pasti berakhir dengan pertengkaran teruk apabila masing-masing enggan mengalah.
Pada satu hari, Khairul terpanggil untuk mencadangkan kepada Ainul mengenai rancangannya untuk berkahwin lain bagi menambah bilangan anak.
Bagaikan dipanah halilintar selepas mendengar perkhabaran itu, Ainul hilang pertimbangan sehingga menuntut supaya dia diceraikan.
Disebabkan gagal menahan perasaan dan rasa marah yang membuak-buak terhadap sikap isterinya yang mementingkan diri, Khairul telah melafazkan cerai talak satu.
Menurut Khairul, niatnya pada mulanya ingin membuat provokasi kepada Ainul supaya dia terbuka hati untuk menambah seorang lagi anak.
“Kalau dia tidak boleh bagi anak, saya ingin berkahwin seorang lagi.
“Tidak sangka pula ia membawa pergaduhan besar kerana Ainul menganggap saya sudah tidak menyayanginya.
“Disebabkan pertengkaran itu, saya telah hilang pertimbangan dan menceraikannya,” ujarnya.
Selepas itu, Khairul membawa kesnya kepada pengetahuan Mahkamah Syariah untuk pengesahan.
Dalam perbicaraan kes, hakim jelas memihak kepada Khairul.
Khairul memberitahu, hakim meletakkan kesalahan kepada Ainul yang boleh dianggap telah menderhaka kepada suami kerana menolak untuk menambah zuriat.
“Jauh dalam lubuk hati, saya berasa sangat sedih kerana hubungan yang terbina sekian lama berakhir dengan perceraian. Saya masih sayangkan Ainul, tetapi keengganannya menambah anak dengan alasan yang saya rasa tidak cukup munasabah membuatkan saya kurang senang,” tegasnya.














