MELIHAT pada raut wajah, kanak-kanak berusia empat tahun ini kelihatan sama sahaja seperti rakan-rakan seusianya.
Gaya dia berjalan juga nampak tiada beza dengan kanak-kanak lain. Namun, rupa-rupanya K. Rashwin yang merupakan anak autisme itu baru boleh mula berjalan pada tahun ini. Selama ini, ibunya yang mengangkat dan mendukungnya memasuki kelas termasuk mendaki tangga untuk ke bilik darjah yang terletak di tingkat dua sekolah.
Rashwin baru-baru ini menjadi tumpuan media apabila berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) dengan mengenal pasti 198 bendera negara di seluruh dunia dalam tempoh 9 minit 54 saat.
Biarpun Rashwin dikategorikan sebagai penghidap autisme, namun ternyata dia memiliki kelebihan tersendiri apabila berjaya mengatasi rekod dibuat seorang kanak-kanak normal berusia lima tahun yang berjaya meneka 145 bendera negara dalam masa 15 minit juga pada tahun ini.
Rashwin yang kini mengikuti kelas terapi pertuturan dan occupational di sebuah pusat intervensi awal kanak-kanak di SACC Mall, Shah Alam, Selangor juga masih perlu berjumpa dengan pakar kanak-kanak setiap enam bulan bagi melihat perkembangannya dalam aspek pertuturan dan kelakuan.
Mengimbau saat mengetahui anaknya seorang penghidap autisme, bapa Rashwin, S. Kalithas, 40, berkata, dia pada mulanya sukar mempercayai anaknya itu mempunyai masalah perkembangan kala isterinya, B. Krishnarani, 36, mencadangkan untuk berjumpa dengan pakar perkembangan kanak-kanak bagi melakukan pemeriksaan terhadap anak kedua mereka itu.

Fikirnya, pada masa itu, usia Rashwin baru setahun setengah atau lebih tepat 20 bulan dan mungkin anaknya itu memerlukan masa selain percaya perkembangan setiap kanak-kanak adalah berbeza.
“Rashwin dilahirkan secara pramatang dengan berat 1.2 kilogram. Ketika dia berusia 20 bulan, isteri yang mula-mula perasan dia tidak boleh meniarap seperti kanak-kanak lain, tangan mengibas-ngibas serta suka tengok objek berputar seperti kipas dan roda kenderaan.
“Keadaan ini pada awalnya memang membuatkan kami selalu berselisih faham dan saya selalu berdoa kepada Tuhan semoga anak saya normal seperti orang lain.
“Tetapi akhirnya apabila isteri saya jelaskan apa yang ingin dia lakukan kepada anak ini, saya mula fikir yang anak ini hanya ada kami sebagai orang tuanya dan kami yang perlu membantu jika ada apa-apa berlaku kepadanya.
“Maka, saya ikut bersetuju untuk berjumpa dengan pakar,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.
Tambah Kalithas, sebaik mendapat slot janji temu dan doktor melakukan diagnosis, beliau mengesahkan Rashwin mempunyai ciri spektrum autisme dan menasihatkan kami untuk melakukan occupational therapy bagi menguatkan otot tangan dan kaki supaya dia boleh meniarap.
“Saya akhirnya boleh menerima keadaan dan ia secara langsung membuatkan hubungan dengan isteri bertambah pulih dan kami mula berbincang untuk mengambil tindakan bersama demi perkembangan Rashwin,” ujarnya.
Kalithas yang bekerja dalam sektor operasi perbankan menambah, pelbagai usaha dimainkan oleh Krishnarani menerusi pembacaan untuk mencari pusat terapi bagi membantu perkembangan anak mereka dan akhirnya memilih sebuah pusat terapi di Kota Kemuning, Shah Alam.
Mereka yang tinggal di Semenyih tidak menjadikan jarak, masa dan wang sebagai bebanan sebaliknya mahu memastikan anak mereka mendapat bantuan sewajarnya. Namun, satu keputusan nekad terpaksa diambil oleh Krishnarani iaitu berhenti kerja dua tahun lalu bagi memastikan dapat memberikan fokus terhadap sesi terapi yang perlu diikuti anaknya.
Mereka bagaimanapun tidak menyesal sebaliknya menganggap keputusan berhenti kerja itu satu langkah tepat.

Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, semua pusat terapi turut ditutup dan ia secara tidak langsung membuatkan pasangan suami isteri ini perlu berfikiran lebih kreatif bagi memastikan anak mereka tidak menjadi agresif di rumah.
“Ketika Covid-19 juga, Krishnarani mengikuti banyak forum dan kelas online tentang cara untuk membantu anak kerana mereka perasan Rashwin akan menjadi agresif apabila tiada aktiviti dilakukan.
“Kami mula beli barang berkaitan dan menukar salah satu bilik di rumah menjadi tempat melakukan aktiviti bagi perkembangan Rashwin. Isteri saya banyak menghabiskan masa bersama dia,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Kalithas menambah, mereka menyedari Rashwin suka pada benda yang berwarna dan mempunyai bentuk. Malah, dia suka melihat kamus bergambar milik abangnya, K. Rayshaan, 10, dan suka melihat bendera kerana ia berwarna-warni dan mempunyai pelbagai bentuk.
“Isteri saya perasan memori Rashwin kuat. Jadi bila dia suka bendera, kami belikan apa sahaja barang yang berasaskan bendera termasuk glob. Satu hari dia melihat gambar bendera dan selang dua atau tiga hari, kami sebut Kelantan dan dia berjaya tunjuk bendera Kelantan yang betul.
“Kami ada beli flashcard (kad imbas) yang menunjukkan 200 bendera dan beri kepada dia. Kami uji dan sebut nama negara dan dia kemudian memilih kad yang betul. Ia suatu yang menakjubkan,” ujarnya.
Krishnarani yang pernah bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat insurans kemudian menghantar kertas cadangan kepada pihak MBOR dan berkongsi gambar serta video mengenai aktiviti Rashwin.
Tujuan Krishnarani mudah, dia mahu masyarakat di luar lebih tahu mengenai autisme dan secara tidak langsung mendidik mereka untuk menerima anak-anak hebat yang luar biasa ini.
Kata Kalithas, pihak MBOR kemudian menghubungi mereka pada Mei lalu dan membuat ujian melalui aplikasi Zoom sebanyak dua kali, namun pada kali pertama Rashwin hanya boleh duduk selama 15 minit untuk memilih 37 bendera dan tidak mahu meneruskan sesi Zoom selain sesi kedua, dia menangis tanpa sempat membuat apa-apa.
Tidak mahu menghampakan usaha dibuat Krishnarani, mereka kemudian berbincang dengan pihak terbabit untuk meneruskan secara bersemuka. Bagaimanapun, disebabkan oleh Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia ditangguhkan sebelum disambung kembali pada awal Oktober lalu.
“Saya sebenarnya risau juga kerana jarak waktu panjang antara Mei dan Oktober. Selepas berbincang dengan pihak sekolah, mereka bersetuju untuk membantu dan menjadikan ia sebagai aktiviti dalam kelas.
“Pagi hari kejadian, saya ada bertanya kepada Rashwin dan dia tidak mahu jawab. Saya risau juga tetapi terkejut apabila dia boleh memilih 198 bendera negara dalam tempoh 9 minit 54 saat sahaja. Dia benar-benar telah mengejutkan kami semua,” katanya.

Ditanya mengenai kehidupan seharian termasuk pemakanan anaknya, Kalithas memberitahu, dia hanya memberikan anaknya makan separa solid food dan semua makanan seperti ayam akan dikisar sebelum diberikan kepada Rashwin. Bagaimanapun, akhir-akhir ini mereka perasan Rashwin sudah boleh menggigit biskut menggunakan gigi hadapan dan itu satu perkembangan baharu buat anak ini.
Mengenai kehidupan seharian, Krishnarani berkata, mereka sekeluarga juga akan memilih lokasi untuk dikunjungi berdasarkan keselesaan anak itu. Bukan sahaja lokasi untuk dikunjungi, malah kuil yang akan mereka pergi juga akan dipilih mengikut keselesaan Rashwin.
“Kami akan selidik tempat yang akan dikunjungi itu menggunakan lampu kuning atau putih kerana dia tidak selesa jika ke tempat berlampu kuning, malah untuk kuil juga kami pilih yang berbumbung tinggi tanpa hiasan pada siling kerana dia berasa lebih tenteram.
“Saya perasan ahli keluarga kami juga memahami keadaan ini dan sebagai contoh jika dia tidak suka bunyi atau iklan yang dilihat pada televisyen, mereka akan menutupnya,” katanya lagi.
Semasa sambutan Deepavali lalu, tambahnya, pada kelaziman, Rashwin tidak boleh mendengar bunyi dentuman mercun yang kuat tetapi sedikit demi sedikit dia sudah boleh melihat percikan bunga api dan akan bermain bersama abangnya.
“Kami berharap masyarakat di luar sana yang mempunyai anak autisme untuk mengambil tahu keadaan dan kehendak anak ini.
“Kami juga berharap agar kemudahan untuk masyarakat autisme disediakan dengan lebih banyak serta menambah bilangan ahli terapi yang sangat terhad pada masa ini.
“Selain itu juga, satu hari nanti saya berharap negara kita dapat mewujudkan sekolah khas bagi membolehkan anak-anak austisme ini menonjolkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.














