fbpx
PERMINTAAN tinggi dan masalah pengeluaran akibat Covid-19 antara punca bekalan PS5 sukar diperoleh di seluruh dunia. – AFP

Suspek PS5 dalam radar Bukit Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pendedahan Kosmo! mengenai nasib ratusan pembeli PlayStation 5 (PS5) yang masih tidak menerima tempahan alat permainan konsol itu daripada seorang ‘wakil penjual’ nampaknya terus panas.

Semakin ramai pembeli alat permainan konsol itu yang didakwa terperdaya dengan janji manis seorang lelaki yang tinggal di utara tanah air telah tampil membuat laporan polis di seluruh negara.

Malah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman semalam memberi jaminan akan memberkas suspek dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes penipuan tersebut.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sehingga kini, pihaknya sudah menerima 26 laporan polis yang dibuat mangsa yang dipercayai terperdaya membeli PS5 daripada suspek terbabit.

“Saya sahkan telah terima laporan polis daripada 26 mangsa di seluruh negara setakat ini yang melibatkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM99,468.

“Pihak kami jangka lebih ramai mangsa akan tampil membuat laporan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Menurut beliau, JSJK Bukit Aman akan menahan suspek yang didakwa memperdaya ratusan mangsa yang membeli PS5 daripadanya melalui sebuah syarikat.

Katanya, polis akan memberkas lelaki terbabit dalam masa terdekat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek. Insya-Allah kita akan tahan suspek dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Ke­seksaan kerana menipu.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan juga denda.

Kosmo! semalam melaporkan, dianggarkan lebih 200 peminat tegar PS5 naik berang apabila tempahan alat permainan konsol itu dengan nilai keseluruhan hampir jutaan ringgit daripada seorang lelaki sejak beberapa bulan lalu masih gagal dipenuhi.

Malah, cubaan ‘kaki game’ terlibat untuk mendapatkan semula wang daripada ‘wakil penjual’ terbabit juga gagal apabila lelaki itu tidak berbuat demikian, sebaliknya terus berjanji untuk segera menyelesaikan masalah itu.

Lelaki terbabit dikatakan berjaya menarik ramai pembeli selepas menggunakan nama beberapa individu popular seperti instafamous serta atlet sukan yang telah membeli PS5 daripadanya dan menerima alat permainan itu dalam tempoh singkat.

 

Pembekal nyaris jadi mangsa urus niaga mencurigakan

PETALING JAYA – Selain ratusan pembeli PlayStation 5 (PS5) yang didakwa menjadi mangsa, pihak pembekal alat permainan konsol itu juga dipercayai nyaris diperdaya ‘wakil penjual’ dalam urusan perniagaan yang mencurigakan.

Seorang wakil pihak pembekal PS5 yang ingin dikenali sebagai Hannan, 22 berkata, lelaki terbabit mula mendekatkan diri dengan syarikatnya pada awal Julai lalu.

“Dia ada bertanya menerusi WhatsApp jika syarikat kami ingin menjadi pembekal PS5 kepadanya. Lelaki terbabit bersetuju untuk membayar RM4,100 bagi setiap unit PS5 walaupun harga itu agak mahal berbanding pasaran, namun dia tetap bersetuju.

“Kebiasaannya, kami sendiri membeli PS5 pada harga antara RM3,500 hingga RM3,700 daripada penjual lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

SETIAP kali menerima stok daripada pihak pembekal, ‘wakil penjual’ enggan menunjukkan wajah ketika bergambar dengan PS5.

Hannan memberitahu, lelaki terbabit juga mendakwa dia be­kerja dengan sebuah syarikat pembekal PS5 kepada syarikat lain dan setiap urusan pembayaran akan diuruskan majikan.

“Sepanjang lima kali berurusan dengan lelaki itu, pihak kami telah berkali-kali meminta dia memberikan maklumat syarikatnya bagi membolehkan kami mengeluarkan invois pembayaran dan penghantaran.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit sering mengelak dan memaklumkan segala urus niaga boleh dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp sahaja.

“Sepanjang urusan penghantaran stok kepada individu terbabit, dia juga sering mengelak untuk bergambar bersama stok PS5 yang telah diterimanya,” katanya.

Hannan berkata, individu terbabit telah meminta syarikatnya untuk mencari stok sebanyak 200 unit PS5 dengan deposit sebanyak RM100,000.

Ujarnya, lelaki terbabit telah membayar RM24,000 secara ansuran, namun apabila diminta melunaskan baki deposit, pelbagai alasan tidak logik akan diberikan.

“Antara alasannya ialah kekasih masuk hospital, pihak pengurusan syarikatnya belum memberi duit dan syarikatnya sedang menguruskan transaksi duit.

“Akhirnya, dia memberitahu mahu membatalkan tempahan begitu sahaja dan meminta kami memulangkan deposit bernilai RM24,000 terlebih dahulu.

“Kami kemudian membuat keputusan untuk menamatkan urus niaga serta-merta dengan lelaki terbabit kerana tidak mahu timbul masalah lain.

“Lelaki tersebut telah menghilangkan diri selepas gagal melunaskan baki hutang deposit,” ujarnya.

Hannan berkata, pihaknya telah membuat laporan polis kelmarin termasuk me­lantik peguam dan akan hadir ke Balai Polis Kepala Batas, Pulau Pinang untuk membantu siasatan.

Hannan menegaskan, pihak­nya tidak terlibat dengan sebarang tempahan awal yang dijanjikan lelaki terbabit dan menafikan memegang stok PS5. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN