KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,899 saman trafik melibatkan jumlah RM231,000 berjaya dikutip dalam tempoh enam jam ketika Program Hari Bertemu Pelanggan di pusat beli belah Publika, Dutamas, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kasim berkata, jumlah itu dikutip bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dan ia merupakan satu pencapaian yang sangat baik meskipun dibuat dalam tempoh yang singkat.
“Sebenarnya kita tidak meletakkan sebarang sasaran berkenaan jumlah kompaun hari ini, apa yang penting masyarakat sekitar dapat datang untuk menjelaskan saman yang diadakan pada hari ini,” ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau hadir membuat lawatan pada Program Hari Bertemu Pelanggan di pusat beli belah Publika, Dutamas, dekat sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.
Mengulas berkenaan program, menurutnya, ia mampu membuka ruang kepada orang ramai memberikan maklum balas berhubung kualiti sistem penyampaian perkhidmatan polis di Kuala Lumpur khususnya.
“Melalui program ini kita dapat mempromosikan konsep ‘Community Policing’ iaitu masyarakat berganding bahu dengan polis dalam usaha menurunkan kadar jenayah dan kita mahu beri kesedaran kepada masyarakat bagi mengelak diri mereka daripada menjadi mangsa jenayah,” katanya.
Sebagai rekod, program berkenaan adalah anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang menyediakan kaunter saman trafik termasuk ruang pameran, kelengkapan senjata dan barang-barang kes daripada beberapa jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk agensi-agensi lain. – K! ONLINE














