SHAH ALAM – Penganjuran Sports Academic Triathlon (UiSAT) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal merangsang kecergasan intelektual pelajar mengenai sukan.
Kejohanan berlangsung selama dua hari bermula hari ini bertemakan kepada empat perkara iaitu Football Euro Cup 2000 – 2020, Tennis Wimbledon, Bola Sepak Malaysia dan Sukan Dalam Wanita.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, penganjurannya mengambil inspirasi menerusi United State Academic Decathlon dalam melahirkan pelajar yang akan menjadi pakar rujuk fakta dunia, tanahair dan antarabangsa.
Katanya, ia terbahagi kepada tiga jenis acara iaitu objektif, kuiz dan pidato.
“Acara objektif mengkehendaki peserta menjawab soalan secara individu manakala kuiz secara berkumpulan.
“Bagi acara pidato, semua tajuk telah diberi bertemakan senario Bola Sepak Malaysia dan Sukan Dalam Wanita dan peserta akan memberi hujah-hujah kepada tiga panel yang dibawa khas dari media sukan tanahair,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian UiSAT 2021 di Pusat Sukan UiTM hari ini. – K! ONLINE














