BACHOK – Kegagalan dalam dua sesi temu duga Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum ini tidak mematahkan semangat seorang anak tukang kebun sekolah untuk memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 menerusi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Nur Aina Najwa Rosdi, 19, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung di sini, kini tetap bersemangat mengejar cita-cita untuk menjadi seorang guru.
“Saya mendapat keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, namun gagal dalam dua sesi temu duga IPG. Saya sedih, tetapi tidak mahu mengalah.
“Setiap malam saya minta doa ibu dan saya sendiri tidak pernah meninggalkan solat tahajud selain berdoa agar dipermudahkan jalan untuk menjadi seorang guru,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan STPM 2025 di SMK Sri Gunung di sini hari ini.
Pada majlis itu, Nur Aina Najwa menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM1,500 sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Unit Kecemerlangan sekolah.
Nur Aina Najwa memberitahu, dia kini menaruh harapan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas menghadiri sesi temu duga pada 17 Jun lalu.
Sementara itu, bapanya, Rosdi Mat Ariffin, 58, berkata, dia bersyukur melihat kesungguhan anaknya walaupun keluarga mereka hidup serba sederhana.
“Saya sentiasa beri semangat kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh kerana pendidikan adalah jalan terbaik untuk mengubah kehidupan keluarga,” katanya.
Pengetua SMK Sri Gunung, Azmi Awang berkata, sekolah tersebut mencatat sejarah apabila semua 103 calon STPM 2025 lulus dengan peratus kelulusan 100 peratus. – KOSMO! ONLINE














