BERPELUANG mengikuti pengajian bidang tiupan kaca dan pengeluaran (glass blowing and production) di New Zealand selama empat tahun telah menjadi titik tolak kepada Kamarul Faizy Roslan, 51, menceburi perusahaan pembuatan kaca kristal.
Dia yang pada awalnya mengikuti pengajian Diploma Pembuatan Seramik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah terpilih untuk mengikuti projek rintis pengajian Diploma Glass Blowing and Production di Wanganui Polytechnic, New Zealand itu pada tahun 1991 bersama tiga lagi pelajar.
Usai pengajian, Kamarul Faizy telah bekerja dengan sebuah syarikat pembuatan kaca kristal di Pulau Langkawi, Kedah dan selepas tujuh tahun berkhidmat, dia mengambil keputusan menubuhkan perusahaan sendiri dikenali sebagai Faizy Crystal Glass Blowing Sdn. Bhd. pada tahun 2003.
Kini, Kamarul Faizy merupakan satu-satunya pengusaha kaca kristal di Malaysia. Produknya bukan hanya dipasarkan di dalam negara tetapi turut dieksport ke luar negara seperti Singapura, Indonesia, Maldives dan United Kingdom.
Menurut Kamarul Faizy, definisi kaca kristal ialah kaca jernih yang dijadikan hiasan. Negara-negara Eropah merupakan pengeluar utama produk tersebut yang mana teknologi pembuatan kaca kristal di sana sangat berkembang.
“Secara asasnya, bagi menghasilkan kaca, ia memerlukan bahan utama seperti silika oksida sebagai bahan utama yang diadun bersama sodium oksida serta kalsium karbonat.
“Suatu waktu dahulu, untuk menghasilkan kaca kristal ia juga memerlukan bahan tambahan seperti plumbum oksida agar kaca tersebut bertambah kilauannya. Namun kini, kajian dapati plumbum memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia dan ia telah ditukarkan kepada borax oksida sebagai ganti,” katanya yang berpangkalan di Pulau Langkawi kepada K2.

Jelas anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, dia menggunakan kaedah hot glass (kaca panas) yang ditiup bagi menghasilkan reka bentuk kaca kristal.Antara alatan digunakan ialah blow pipe, punty iron, jack, tweezer dan schers.
Menurutnya, bagi pembuatannya, terlebih dahulu bahan-bahan campuran silika akan dilebur pada suhu 1,400 darjah Celsius di dalam tanur (tempat pembakar khusus) selama 24 jam.
“Bahan yang telah lebur itu akan diambil dan ditiup menggunakan blow pipe bagi memudahkan ia diolah mengikut kehendak pembuatnya untuk membentuk rekaan diingini.
“Setiap satu produk kaca kristal boleh disiapkan sekitar dua minit hingga dua jam bergantung kepada saiz dan tahap kesukaran rekaan,” ulas bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.
Setelah produk kaca kristal siap direka bentuk, ia perlu diletakkan di dalam peti khas selama 24 jam bagi memastikan suhu produk itu turun ke suhu bilik.
Pembuatnya juga mengharungi proses yang agak rumit seperti berdepan bahang panas serta perlu meniup dan membuat rekaan secepat mungkin sebelum bahan itu mengeras ekoran haba yang berkurangan sehingga perlu dibakar semula bagi mendapatkan tekstur yang lembut.
Kos pembuatan kaca kristal juga sangat tinggi kerana bahan-bahan tersebut diimport dari Belanda, selain kos bahan bakarnya yang banyak.

Jelasnya, untuk mempelajari kemahiran asas membuat produk kaca kristal memerlukan masa sekitar tiga hingga enam bulan bergantung kecekapan individu itu sendiri.
Mereka juga perlu membuat latihan setiap hari dan mengambil masa bertahun-tahun untuk betul-betul mahir dalam pembuatan kaca kristal.
Justeru, tidak hairanlah ramai orang terutamanya anak muda kurang berminat mempelajari dan mengusahakan pembuatan kaca kristal kerana kerumitan penghasilan, melibatkan bahan panas serta mereka tidak merasakan ia berpotensi tinggi.
“Faktor-faktor tersebut menyebabkan kita kekurangan tenaga mahir dalam bidang pembuatan kaca kristal kerana ramai beralih arah kepada pekerjaan lain disebabkan tidak sanggup berdepan cabaran-cabaran itu.
“Perkara itu sangat membimbangkan kerana industri ini seolah-olah kian terpinggir dan kurang popular berbanding seni pembuatan lain sedangkan mempunyai potensi cukup besar,” tuturnya yang sering dijemput oleh pihak kerajaan, swasta dan institusi pendidikan tinggi untuk berkongsi ilmu mengenai pembuatan kaca kristal.
Katanya, antara produk kaca kristal dihasilkan syarikatnya ialah pasu, bunga, hidupan laut dan darat, gelang, rantai, loket, mangkuk, botol minyak wangi.
“Rekaan kami banyak dipengaruhi motif flora dan fauna, seni bina serta elemen tempatan.
“Sebelum pandemik melanda, kami mengeluarkan 1,000 unit sebulan produk kaca kristal buatan tangan, tapi kini menurun sebanyak 50 peratus ekoran Covid-19,” ujarnya yang juga salah seorang usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Ketika pandemik, Kamarul Faizy membuat jualan secara online menerusi platform digital dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia seperti Craft On The Go, Facebook E-Kraf Bazar dan terkini MyCraftshoppe.
Harga produk-produknya bermula daripada RM5 hingga RM5,000. Pihaknya pernah turut menerima tempahan eksklusif berbentuk bangunan istana daripada seorang kerabat diraja bernilai RM13,000.
Faizy Crystal Glass Blowing juga salah satu lokasi popular pelancongan. Di samping melihat pelbagai koleksi produk kaca kristal dan membeli-belah, pelancong berpeluang menyaksikan demonstrasi pembuatan, melihat bahan mentah serta peralatan.
Syarikat tersebut juga mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia kerana menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada para pelancong.
Besar harapan Kamarul Faizy untuk melahirkan seramai mungkin generasi pelapis dalam bidang pembuatan kaca kristal menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam atau swasta bagi merancakkan kembali industri tersebut.
Dia juga merancang untuk membesarkan lagi perusahaan itu dengan membuka cawangan di selatan tanah air pada masa akan datang.














