KELIBAT kenderaan rekreasi (RV) yang dipandu Mejar Shahrul Nizam Mat, 42, dengan kelajuan sederhana dilihat meluncur membelah laluan jalan raya awal pagi itu.
Pertama kali mengembara menaiki RV bersama keluarga, keterujaan keluarga kecil ini jelas kelihatan tatkala gelak tawa dan gurau senda anak-anak kecil di belakang kenderaan mengiringi perjalanan itu dari Keramat, Kuala Lumpur ke Seri Iskandar, Perak.
“Saya didedahkan dengan RV sewaktu melaksanakan tugas sebagai Pegawai Tentera Tumpangan menerusi program pertukaran di Royal Military College of Duntroon, Canberra, Australia dari tahun 2010 hingga 2012.
“Di sana, penggunaan RV begitu meluas. Bagaimanapun, saya hanya berkesempatan menaikinya baru-baru iaitu sewaktu bergerak ke kampung semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hujung tahun lalu.
“Ternyata ia satu pengalaman begitu menyeronokkan kerana kami seolah-olah berada di dalam rumah atau hotel yang sedang bergerak,” ceritanya.
Percutian menggunakan RV iaitu memandu kenderaan bersama kabin dilengkapi ruang asas seperti di rumah sendiri sudah tidak asing bagi sebahagian masyarakat di negara ini. Bukan sekadar mempunyai dapur, sink dan tandas, ruang kenderaan tersebut juga dilengkapi bilik tidur yang boleh diubah menjadi tempat duduk dan ruang simpanan barang.

Pendek kata, ‘hotel bergerak’ tersebut lengkap seperti berada di dalam rumah sendiri. Bezanya, ia mempunyai roda dan boleh bergerak ke destinasi yang diingini.
Sejak dahulu lagi, RV termasuk motorhome cukup popular dalam kalangan masyarakat di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea Selatan dan lain-lain. Namun, baru-baru ini, RV kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Mana tidaknya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan sekatan perjalanan ke luar negara ekoran pandemik Covid-19 menyebabkan ramai pengembara di negara ini mengambil pendekatan mengelilingi negara sendiri menggunakan RV.

Ia satu pengembaraan selamat apabila tidak perlu bercampur dengan orang ramai yang berkemungkinan terdedah dengan jangkitan Covid-19.
Kesemua keperluan tersedia dalam RV menjadikan ia pengembaraan yang menyeronokkan.
“Dengan menggunakan RV, kita boleh kekal berada di dalam kenderaan terutamanya apabila berkelah.
“Pendek kata, RV ini boleh dikatakan sebagai percutian selamat tatkala negara dilanda pandemik,” katanya.
Merupakan antara individu yang menawarkan perkhidmatan sewaan dan jualan RV kepada masyarakat di negara ini, siapa sangka pengalaman Ahmad Hazwan Zahari, 32, bersama keluarga menggunakan RV memberi ruang buat anak sulung daripada lapan beradik ini menceburkan diri dalam industri itu.
Bercerita lanjut, menurut pemilik Karysma Motorhomes itu, biarpun aktiviti ini sudah lama bertapak di Malaysia iaitu sekitar tahun 1980-an, namun, ia hanya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini sejak pandemik Covid-19 melanda.
Begitupun katanya, permintaan RV masih lagi kurang memandangkan ketiadaan campsite sesuai seperti di negara luar terutamanya Thailand, Australia, Jepun dan United Kingdom yang mana percutian menggunakan kenderaan rekreasi begitu popular sehingga mempunyai campsite lengkap di setiap negeri.
“Ia bermula dengan pengalaman pertama suatu ketika dahulu sewaktu saya dan keluarga terpaksa bermalam di dalam sebuah kenderaan serba guna (MPV) apabila tiba ke destinasi percutian hari sudah lewat.
“Oleh kerana kos menyewa hotel dikira sehari walaupun hanya tidur selama empat jam, kami mengambil keputusan untuk tidur di dalam kenderaan. Pastinya keadaan tersebut tidak begitu selesa kerana saya perlu menghidupkan enjin kenderaan jika mahu pendingin hawa terpasang.
“Jika mahu ke tandas pula, kami perlu ke stesen minyak yang kadangkala kotor. Berbeza dengan motorhome yang mempunyai tandas sendiri, selain lengkap dengan kelengkapan untuk bermalam di mana sahaja. Malah, ia juga mempunyai pendingin hawa asing yang menggunakan kuasa bateri,” ujarnya.
Bermula dengan membeli RV pertama, Plutus Caravan di Klang, Selangor untuk kegunaan sendiri, Ahmad Hazwan mula menyedari kenderaan itu belum lagi ada dijual sedangkan permintaannya tinggi.
Mengambil pandang permintaan dan keperluan di pasaran, dia mengambil keputusan untuk mengimport sendiri motorhome dari Jepun untuk rakan-rakan yang berminat sekitar tahun 2020.
Tanpa disangka, ia kemudian menjadi satu perniagaan buatnya.
“Kelebihan bercuti menggunakan RV adalah bebas dari segi masa dan tempat untuk bermalam serta sesuai untuk golongan yang gemar aktiviti berkhemah dan menikmati keindahan alam. Menariknya, individu boleh meletakkan RV di tepi air terjun, pantai mahupun tasik dan mereka boleh menikmati pemandangan serta suasana lebih indah jika dibandingkan dengan tidur di hotel.
“Jika ingin bercuti ke destinasi-destinasi lain pula, individu biasanya perlu mendaftar masuk ke hotel banyak kali dan tempahan juga perlu dirancang teliti. Sudahlah begitu, mereka perlu angkat beg berkali-kali.
“Berbeza dengan RV yang mana kesemua keperluan sudah tersedia sepanjang masa,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, menurut Ahmad Hazwan lagi, terdapat beberapa jenis RV yang lazimnya digunakan untuk percutian, antaranya campervan, motorhome dan caravan. Begitupun, setiap satu RV ini mempunyai saiz berbeza bergantung kepada fungsi dan bilangan penumpang.
“Untuk keluarga kecil hingga tiga orang, lebih sesuai menggunakan campervan. Bagaimanapun, ia tidak mempunyai tandas dan bilik mandi.
“Bagi percutian empat hingga enam orang pula, lebih sesuai menggunakan motorhome kerana lebih besar bak lori dan lengkap serba-serbi,” terangnya.
Sementara itu, bagi percutian empat hingga lapan orang pula, penggunaan caravan kebih praktikal.
“Ini merupakan jenis RV yang tidak mempunyai enjin dan perlu ditunda oleh kenderaan berkuasa tinggi sekurang-kurangnya 2,200 cc.
“Caravan dianggap sebagai jenis RV yang paling selesa dan luas. Di luar negara memang ramai orang menggunakannya, tetapi satu kelemahannya iaitu kita perlu kaji jalan mana harus dilalui. Ini kerana, bukan semua struktur jalan boleh diharungi caravan, terutamanya lorong sempit, selekoh tajam dan jalan berbukit,” tambahnya.
Kadar sewa kesemua RV ini antara RM400 hingga RM600 sehari bergantung jenis. Begitupun, biasanya motorhome paling mendapat sambutan kerana lengkap dengan segala keperluan yang pelanggan inginkan.














