fbpx
Gambar hiasan.

Susahnya hendak bernikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai pasangan kekasih yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk berkahwin mengeluh apabila mereka sukar menempah slot janji temu bagi mendapatkan permohonan dan kebenaran berkahwin di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri Selangor.

Kesukaran itu menyebabkan bakal pengantin terbabit tidak dapat memilih tarikh akad nikah yang mereka inginkan sekali gus terpaksa menangguhkan pernikahan mereka berulang kali.

Keadaan tersebut didakwa berlaku kerana bilangan slot janji temu berkenaan adalah terhad pada setiap hari.

Malah, kewujudan ramai pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga juga menyebabkan persaingan untuk mendapatkan slot berkenaan terlalu sengit.

Menurut Fakhrul Radzi Hasan, 28, dia dan pasangannya telah mengisi borang pernikahan sejak bulan lalu, namun gagal mendapatkan janji temu itu di PAID Petaling kerana slot yang disediakan bagi September dan Oktober telah penuh.

“Bukannya saya tidak berusaha untuk dapatkan slot, tetapi seperti biasalah, terpaksa berebut dengan ribuan lagi pasangan lain. Hanya yang bertuah akan mendapat tempat.

“Sekarang saya masih berusaha membuka laman web PAID setiap hari untuk melihat sekiranya ada pasangan yang membatalkan slot mereka di saat-saat akhir.

“Saya berhasrat untuk bernikah pada November ini, tetapi tak pasti sama ada hasrat itu akan dapat ditunaikan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, Nurul Najihah Muhd. Ali, 25, berkata, dia perlu menunggu pasangannya mendapatkan slot janji temu di PAID terlebih dahulu sebelum borang pernikahan sebelah lelaki yang telah disahkan pihak berkuasa agama diserahkan kepadanya.

Bagaimanapun, katanya, masalah sama akan wujud ke­rana dia juga perlu berebut slot janji temu untuk menghantar borang lengkap pernikahan bersama borang pasangannya itu.

“Buat masa ini, saya kena tunggu dia terlebih dahulu. Saya tak tahulah bila pasangan saya boleh dapat slot tersebut. Saya sendiri pun nanti entah berapa lama nak dapat slot untuk menyerahkan borang lengkap kami kepada pejabat agama,” katanya.

Bagi Muhammad Shamil Zulkefli, 31, pula berkata, dia juga masih belum menyerahkan borang nikah kepada PAID di kawasannya dan masalah itu tidak diketahui oleh keluarganya lagi.

“Saya tak mahu buat mereka susah hati kerana sebelum ini pernah tangguh perkahwinan. Sekarang pun masih berharap ada yang membatalkan slot mereka bagi September dan Oktober,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN